Categories
SELANGOR

JP-PADAT bincang isu Kerajaan era BN jual tanah Orang Asal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pada tahun 1999, Kerajaan Negeri di era Barisan Nasional (BN) memutuskan menjual tanah di Kampung Orang Asal Bukit Tunggal kepada sebuah syarikat pemaju untuk dibangunkan sebagai Bukit Unggul Golf Resort.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) Berhubung Perwartaan Tanah dan Penempatan Orang Asli di Negeri Selangor, Mohd Shafie Ngah berkata, keadaan itu menyebabkan proses mewartakannya sebagai kawasan tanah adat Orang Asli tergendala.

“Kita dapat maklum balas hari ini, puncanya adalah data kepunyaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak spesifik seperti yang terdapat di Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan ini meninggalkan kesan kepada cadangan kerajaan untuk mewartakan tanah Orang Asal.

“Bila gagal diwartakan, Orang Asal mengatakan Kerajaan Negeri tidak bertanggungjawab, sedangkan yang menjadi punca masalah ini adalah data pihak JAKOA tidak konsisten kerana kita perlu mendapat persetujuan mereka,” kata Mohd Shafie.

SHAFIEBeliau berkata demikian selepas mempengerusikan Pendengaran Tertutup JP-PADAT berhubung isu perwartaan tanah / penempatan orang asal di Negeri Selangor di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Beliau berkata, JAKOA seharusnya mengambil langkah proaktif untuk turun padang bagi mendapatkan jumlah keluasan sebenar, keluasan yang diguna pakai, jumlah keluarga Orang Asal untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa peringkat negeri.

Katanya, Orang Asal di kawasan terbabit turut menolak pampasan yang ditawarkan dan menuntut supaya hak mereka dihormati.

“Jawatankuasa melihat perkara ini penting, harus dihormati dan pihak JAKOA mesti bertanggungjawab kerana mereka adalah jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan Orang Asal.

“Saya jangkakan kami akan bentangkan satu penyata di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada sesi November ini yang perkara dasarnya hak Orang Asal perlu dijaga dan dihormati,” katanya.