Categories
SELANGOR

Konsep fertigasi tarik minat anak muda

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 27 SEPT: Pembabitan anak muda dalam industri pertanian berkonsepkan fertigasi semakin mendapat sambutan di Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, walaupun ada antara mereka memiliki ijazah dalam bidang seperti kejuruteraan, namun mereka memilih untuk menceburi pertanian.

“Kita lihat pembabitan anak muda kini daripada pelbagai latar belakang sangat menggalakkan.

“Kerajaan Negeri menggalakkan pertanian dengan konsep fertigasi kerana ia memerlukan ruang kecil tetapi mampu memberi pulangan hasil memberangsangkan,” katanya.

Zaidy berkata, Kerajaan Negeri kini dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Induk Pembangunan Pertanian Negeri Selangor yang akan menggalakkan lebih banyak pertanian berkonsepkan fertigasi.

unknownSetakat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta setahun bagi menggalakkan komuniti setempat menjalankan aktiviti terbabit.

Zaidy sebelum itu mengadakan lawatan ke lima Kebun Smart Selangor di bawah seliaan Majlis Daerah Sabak Bernam yang berkapasiti 200 polibag.

Setakat ini, Selangor mempunyai 1,000 pengusaha aktif membabitkan tanaman 850,000 polibag cili dengan keluaran hasil 1,700 metrik tan setahun.

Manakala Rock Mellon pula ditanam 1.07 juta polibag dengan anggaran hasil sekitar 3,500 metrik tan.