Categories
GLOBAL

Korea Utara mahu ketenteraan setanding kuat Amerika

SEOUL 16 SEPT: Korea Utara berhasrat mencapai ‘keseimbangan’ kekuatan tentera dengan Amerika Syarikat (AS), kata agensi negara itu.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan kenyataan dikeluarkan sehari selepas pemimpinnya, Kim Jong-Un, mengarahkan ujian peluru berpandu jarak sederhana dan jauh, Hwasong-12, yang terbang melepasi Jepun sebelum jatuh ke dalam Lautan Pasifik.

“Matlamat utama kami adalah memastikan keseimbangan tentera dengan AS dan menjadikan negara itu takut bercakap mengenai pilihan ketenteraan terhadap Korea Utara,” Kim dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

Korea Utara semalam melancarkan sebuah peluru berpandu melintasi Pulau Hokkaido di utara Jepun menuju ke Lautan Pasifik, kata beberapa pegawai Korea Selatan dan Jepun.

Peluru berpandu itu terbang melepasi Jepun dan jatuh di Lautan Pasifik, kira-kira 2,000 kilometer (km) ke timur Hokkaido, kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga kepada pemberita.northkoreamap

Siren amaran peluru berpandu dibunyikan sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) di beberapa kawasan di utara Jepun.

Ramai penduduk turut menerima amaran melalui telefon bimbit atau melihat paparan televisyen yang meminta mereka mencari perlindungan.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis berkata, misil itu menyebabkan berjuta-juta penduduk Jepun cemas.
=EZY=