Categories
SELANGOR

Masyarakat perlu faham bidang tugas penguatkuasa

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 12 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN), Hannah Yeoh turut merakamkan penghargaan kepada pembantu penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Nor Safuan Nordin, 31 yang mampu mempertahankan integriti berdepan situasi beremosi ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab penguatkuasa melaksanakan tugas mereka secara efektif dan mesra demi memastikan aliran trafik berjalan lancar walaupun sering menerima cemuhan awam.

“Saya mengucapkan syabas kepada Nor Sapuan dan menghargai bidang tugas mereka selaku penguatkuasa Unit Clamping MPSJ.

“Kita perlu angkat sisi positif yang dipamerkan penguatkuasa apabila mengendalikan kes sebegini.

“Tidak ada sesiapa suka kenderaan mereka dikunci, tetapi tugas dalam bidang kerja Unit Clamping ini tidak mudah dan semua orang perlu faham selain memberikan kerjasama,” katanya.

Wanita_Steering_LockMinggu lalu, satu video tular dilaman sosial menyaksikan Nor Safuan berdepan kemarahan seorang wanita sambil memegang pengunci stering setelah kenderaannya dikunci kerana pakir ditempat salah dan menghalang trafik di Bandar Puteri, Puchong, 6 September lalu.

Hannah berkata, penguatkuasa kini terpaksa berhadapan persepsi negatif daripada masyarakat ketika menjalankan tanggungjawab sedangkan ia sudah menjadi sebahagian daripada bidang tugas dalam Unit Clamping.

Penghargaan sama turut diberikan ADN Kinrara, Ng Sze Han yang menyifatkan penguatkuasa Unit Clamping menjalankan tugas dengan adil dan tegas.

Beliau berkata, orang awam sepatutnya tenang jika berhadapan situasai berkenaan dan mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin tanpa mewujudkan kekecohan.

MPSJ“Nasihat saya kepada orang awam mereka patut lebih bertenang dan boleh buat rayuan serta meminta menjelasan dalam sesi Mesra Rakyat MPSJ pada setiap Jumaat.

“Saya berharap insiden ini tidak berulang dan semua pihak perlu bertenang,” katanya.

Hannah dan Sze Han sebelum itu turut bersama-sama menyampaikan sijil penghargaan kepada Nor Safuan atas tindakan cemerlang beliau di Bangunan MPSJ sambil disaksikan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd
Zulkarnain Che Ali.