Categories
PBT SELANGOR

MPSJ rakam penghargaan kepada Nor Safuan

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 12 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganugerahkan sijil penghargaan kepada pembantu penguatkuasa, Nor Safuan Nordin, 31, yang mempamerkan sikap profesional apabila berhadapan situasi beremosi ketika bertugas di Bandar Puteri, Puchong.

Penghargaan itu diserahkan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali sambil disaksikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh dan ADN Kinrara, Ng Sze Han di Bilik Timbalan YDP, di Bangunan MPSJ.

Beliau mula menjadi perhatian ramai susulan penularan video seorang wanita yang memegang pengunci stering sambil memarahi pembantu penguatkuasa apabila kereta beliau dikunci kerana diletakkan di tempat menghalang laluan trafik.

Nor Safuan berhadapan situasi itu pada 6 September lalu sekitar jam 1 tengah hari dilihat tenang mengendalikan kejadian berkenaan sambil memberikan penjelasan sebab tindakan diambil kepada pemandu yang dilihat tidak berpuas hati apabila keretanya dikunci.

Mohd Zulkarnain berkata, reaksi diberikan Nor Safuan itu wajar dipuji kerana beliau berjaya mengatasi detik sukar itu secara berhemah.

IMG_20170912_105326“Insiden ini menjadi contoh kepada penjawat awam bahawa integriti sangat penting dalam menjalankan tugas.

“Nilai jati diri yang dipamerkan Nor Safuan sangat membanggakan. Saya ucapkan syabas kepada beliau dan Unit Clamping MPSJ kerana bertindak secara profesional,” katanya.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak menghalang aliran trafik khususnya pada waktu puncak di kawasan komersil bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil.

Sekiranya melakukan kesalahan mengganggu aliran trafik, mereka perlu membayar RM80 bagi tujuan kompaun, membuka semula kunci dan caj perkhidmatan.

Mengulas mengenai perkembangan kejadian itu, MPSJ sudah membuat satu laporan polis selepas video itu tular di laman sosial demi menjaga keselamatan serta maruah mereka.

Sementara pemandu wanita berkenaan sudah mengemukakan permohonan maaf pada hari kejadian dan membayar saman.

=EZY=