Categories
SELANGOR

Sampah haram: Enam fail disiasat, empat lori disita

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 SEPT: Sikap masyarakat yang tidak peka dan sensitif dalam isu pembuangan sampah menyukarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekaligus mewujudkan tempat pelupusan sampah haram.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, dari Januari hingga Ogos 2017, sebanyak 30 operasi sampah haram dijalankan dalam mengekang sikap tidak bermoral itu dari berterusan.

“Sikap ini selalunya menggagalkan usaha pelbagai pihak dalam menangani isu melupuskan sampah dengan cara yang betul dan merupakan faktor utama menyumbang kepada terdapatnya lokasi sampah haram,” katanya dalam kenyataan.

83194c0b-17c1-4a93-a781-0c8153aea120Mohamad Zain berkata, dalam operasi dijalankan, MDKL mengenal pasti tiga hotspot sampah haram membabitkan kawasan Bandar Saujana Putra, Kanchong Darat dan Bukit Changgang.

Katanya, daripada 30 operasi itu juga, sebanyak 44 notis kesalahan dikeluarkan kepada pesalah didapati membuang sampah haram.

Katanya, MDKL juga berjaya menahan dan menyita empat lori dalam operasi itu.

“Selain itu, enam fail dibuka bagi tujuan kertas siasatan dan tindakan selanjutnya akan diambil.

“Tangkapan dan penahanan ini adalah kerana membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan oleh MDKL di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) pemungutan, pembuangan dan pelupusan sampah MDKL 2007,” katanya.

Beliau berkata, pesalah terbabit berdepan pendakwaan kes di mahkamah kerana ingkar menjelaskan kompaun dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda maksima RM2,000.

af0482d7-3c3f-4218-bad3-f672982d2dd8“Kita juga mengingatkan kepada semua masyarakat tidak kira di kawasan operasi atau kawasan kawalan MDKL supaya sentiasa menjaga dan memelihara kebersihan,” katanya.

Katanya, setiap lapisan masyarakat disaran agar bekerjasama menyalurkan maklumat supaya aktiviti pembuangan sampah haram ini dapat dibendung.

“MDKL tidak teragak-agak mengenakan tindakan kompaun maksimum tanpa kompromi kepada mereka yang menjejas serta merosakkan mutu alam sekitar di daerah ini,” katanya.