Categories
SELANGOR

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan esok

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRJAYA, 26 SEPT: Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya esok berhubung rayuan permohonan Kerajaan Negeri menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan data 136,000 pengundi yang didakwa telah dimusnahkan.

Peguam Kerajaan Negeri, Latheefa Koya berkata, proses berkenaan dibuat berikutan kegagalan SPR mendedahkan butiran data pengundi pada prosiding perbicaraan lalu di Mahkamah Rayuan.

“Atas alasan itu, mahkamah rayuan telah menolak atau menukar keputusan Mahkamah Tinggi dan dan tidak benarkan untuk lanjutan proses itu.

“Jadi kita akan menunggu keputusan esok selepas mahkamah mendengar hujah balas daripada Kerajaan Negeri selama satu jam 30 minit dan SPR lebih kurang 30 minit,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan, memutuskan SPR tidak perlu menyediakan daftar pemilih yang digunakan semasa persempadanan semula pada 1994 dan 2003.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri meminta agar mahkamah memerintahkan SPR mengemukakan dokumen-dokumen yang digunakan dalam persempadanan semulanya.

Antara dokumen yang diminta Selangor ialah alamat 136,272 pengundi dan dokumen asal yang digunakan untuk mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi dan aplikasi perisian komputer, Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang digunakan dalam persempadanan semula di Selangor.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memfailkan  permohonan injunksi SPR menjalankan siasatan berhubung persempadanan semula di Semenanjung sehingga kesnya diputuskan mahkamah.

Proses berkenaan juga dibuat bagi menghalang SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat.

=EZY=