Categories
SASTERA

Orang jahat yang tak makan ikan

 

Oleh Mahizan Husain

SEJAK  bila  Tito  bercita-cita  mahu  jadi orang  jahat,  dia sudah tidak ingat. Bak kata Henry Hill dalam filem Goodfellas, as far back as I can remember, I always wanted  to be a gangster.

Samalah macam Tito.

Tito  seorang  penjenayah  kecil-kecilan.  Dunia orang  jahat  tidaklah teruk sangat bagi Tito. Kadang-kadang Tito pukul orang. Kadang-kadang orang pukul Tito.

Tito  percaya,  menjadi orang jahat adalah takdirnya. Tito juga percaya, ada orang memang  dilahirkan untuk jadi jahat. Bagi Tito, kejahatan pun sama seperti kebaikan, harus dilakukan bersungguh-sungguh.

“Bila kau nak berubah?  Setiap orang kena  ada ikhtiar untuk berubah.” Mahfud, kawan lama Tito, suka bagi nasihat.

“Ini takdir aku. Bukan pilihan aku.” Tito menjawab datar.

“Ini bukan  takdirlah, dol. Kau boleh berubah kalau kau mahu.  Setiap  tingkah laku kau, kaulah yang bertangguhjawab,” imbuh Mahfud.

Sebelum  Tito  jadi penjahat, Mahfud terlebih dulu merintis jalan kejahatan.  Tapi nasib Mahfud baik.  Sekalipun Mahfud  tak pernah kena tangkap. Kini Mahfud sudah insaf. Sudah bertaubat. Sudah kembali ke pangkal jalan.

Mahfuz  selalu  minta Tito  agar  jangan menyebut  lagi tentang  dosa-dosa silamnya.  Kalau boleh, tutup rapat-rapat.  Kita  dituntut untuk menutup aib orang, kata Mahfuz. Orang yang sudah  bertaubat, dia  akan jadi suci kembali, walaupun dosanya sebesar gunung, kata Mahfuz lagi.

“Walaupun dia pernah berzina berpuluh-puluh kali?” tanya Tito menyindir Mahfud yang dulunya suka ke sarang pelacur.

“Ya. Walaupun dia pernah berzina,” tegas Mahfud.

Impian  Tito yang  tunggal  ialah bergabung dengan kumpulan gengster besar di bawah  pimpinan  seorang lelaki bernama Kali.  Kali  bukanlah  orang yang gagah berani kalau  dilihat dari segi fizikal.  Wajahnya lucu. Pipinya kembung macam doh terlebih bikarbonat.  Badannya gemuk pendek. Cara jalannya terkedek-kedek.

Di sebalik  ketrampilan Kali yang tidak berwibawa, Kali sesungguhnya seorang pembunuh  yang esentrik  tapi  humoris.  Kali suka ketawa.  Kata Kali, hidup ini adalah sarkas. Kita kena ketawa puas-puas.

Kali  sangat cekap  dan handal  membaling pisau.  Sambil buat puding Oreo sekali pun, Kali  boleh  baling  pisau berceracak  ke dada musuhnya.  Selain dunia gengster, Kali berbakat besar dalam bidang kulinari.

“Apa kelebihan kau sebagai orang jahat?” tanya Kali ketika Tito datang ke dapurnya meminta kerja sebagai orang bawahan.

Tito  terdiam sebentar.  Tito sedar, dia tiada kelebihan apa-apa. Tito  teringatkan sesuatu lantas dia menjawab: “Saya tak makan ikan.”

Memang sejak kecil Tito tak makan ikan.

Kali  tergelak besar mendengar jawapan Tito. Dia berundur sedikit untuk mencapai  pisau. Tito tak tunggu lagi, terus pecut lari.

“Aku rasa aku tak perlu jadi orang bawahan Kali. Aku nak jadi Kali.” Tito beritahu  Mahfud  ketika mereka sedang makan aiskrim potong.

“Maksud kau?”

“Aku nak bunuh Kali dan rampas kedudukannya,” gurau Tito sekadar untuk menghibur hatinya.

Pada satu petang  yang romantis, Tito  duduk tepi tasik yang selama ini dia ingat lombong. Tasik  dengan lombong pun Tito tak kenal.  Tito pakai kemeja bunga-bunga Reverse Tropical  kesayangannya. Dia  bermain ukulele.

Gelombang  petikan  ukulele  Tito  melantun  merdu  ke dasar tasik, membuatkan ikan-ikan  termangu  dan  terpukau.  Segerombolan  ikan-ikan  segera berkumpul di bawah air,  dekat  tempat Tito duduk.   Ada yang berloncatan  di pemukaan tasik  kerana terlalu seronok.  Segala  jenis plankton pun ikut terhibur.  Air tasik pula memberikan  riak-riak lembut.

Tiba-tiba Tito rasa belakangnya terkena sesuatu.

“Adoi.” Tito terkejut.  Tangannya dikilas  untuk meraba belakang.  Jari Tito menyentuh ulu  pisau yang menusuk kuat.

Tito  bingkas bangun untuk memeriksa keadaan.  Dia  nampak  Kali.  Di belakang Kali, Tito nampak Mahfud.

“Apa salah aku?” tanya Tito pada Kali.

“Kau ingat aku nak duduk diam bila ada orang berniat nak bunuh aku?” balas  Kali dengan  senyum mesra. Ukulele terjatuh  daripada pegangan Tito.

Tahulah Tito, Mahfud telah mengkianatinya.

Tanpa berlengah,  Kali membaling  sebahagian dari koleksi pisau Jepun kepunyaannya.  Pisau  Chosaki,  Deba,  Sushi Kiri, Takohiki  dan Unagi Saki  tercacak di dada Tito satu per satu macam papan dart.

“Jangan  gopoh-gopoh mati. Take your own sweet time.” Pesan Kali sebelum pergi.

“Selamat  tinggal  duniaku yang kejam,”  Tito berseru sambil  memandang sayu ke langit.  Dia  tunduk  melihat  darahnya.  Tito berharap darahnya putih.  Dia nampak darahnya keluar merah segar macam kuntum bunga mawar.

Mahfud  mendekati Tito.

“Sampai  hati kau khianati aku, Fud? Bukankah kita goodfellas?” Tito berkata dengan sedih.

“Kau yang anggap aku kawan. Aku tak pernah anggap kau sebagai kawan.” Mahfud berterus-terang.

“Aku tak sangka kau memang mahu aku mati.” Tito meluahkan rasa terkilan.

“Memang  aku mahu kau mati sebab kau yang paling banyak tahu rahsia gelap aku. Kalau kau lenyap, lenyaplah segala rahsia aku!”

Serentak itu Mahfid  menolak Tito dengan kaki kanannya.  Tito tumbang ke dalam tasik.

“Tolong  selamatkan  aku, Fud.  Aku tak tahu berenang!”

Tito timbul tenggelam sambil berusaha mengapung diri.

Mahfud senyum tanpa perasaan.

“Inilah  takdir  kau.  Takdir  kau mati tenggelam. Takdir aku tengok kau mati tenggelam.”

“Tolong  aku Fud… tolong aku…” Tito merayu.

“Kenapa kau tak nak bertaubat? Kenapa kau nak sangat jadi orang jahat?”

I didn’t  choose  the thug life,  the  thug life chose me.” Selesai Tito mengungkap kata-kata Tupac Shakur, dia pun perlahan-lahan tenggelam.

Ada dua kemungkinan yang berlaku pada Tito di bawah tasik itu – sama ada dia diselamatkan  oleh ikan-ikan  atau jasadnya yang selama ini tak makan ikan, dimakan ikan-ikan.