Categories
GLOBAL

PBB gesa Myanmar tamatkan keganasan

COX’S BAZAR, Bangladesh 30 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa kerajaan Myanmar menamatkan ‘mimpi ngeri’ ekoran kejadian lebih 60 etnik Rohingya dikhuatiri mati selepas bot mereka karam kelmarin.

Dalam kejadian itu, 23 orang disahkan meninggal dunia, manakala 40 orang hilang dan dipercayai lemas, kata jurucakap Pertubuhan Migrasi Antarabangsa, Joel Millman kepada pemberita di Geneva, lapor AFP.

“Keadaan kini menjadi kecemasan pelarian paling pantas berkembang di du­nia, mimpi ngeri kemanusiaan dan hak asasi manusia,” kata Guterres ketika menggesa mereka yang melarikan diri daripada konflik dibenarkan kembali ke rumah.

Kejadian bot karam tersebut berlaku ketika mereka berusaha melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar di negeri Rakhine.

Rohingya1Lebih separuh daripada setengah juta penduduk Islam Rohingya membanjiri Bangladesh bulan lalu selepas tentera Myanmar bertindak keras ke atas pemberontak Rohingya dengan memusnahkan kampung-kampung di negeri Rakhine, utara Myanmar.

Sejumlah pelarian lemas ketika cuba menyeberangi perairan yang memisahkan antara kedua-dua negara itu, manakala mereka yang terselamat pula berdepan bahaya baharu apabila bersesak di penempatan pelarian yang kekurangan bekalan makanan dan air bersih.

Gelombang krisis kemanusiaan itu menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan perbincangan pertama berkaitan Myanmar selepas lapan tahun walaupun negara-negara anggota gagal mencapai resolusi bersama.

Amerika Syarikat menyelar pihak tentera kerana cuba ‘melakukan pembersihan ettik minoriti negara itu’, manakala Beijing dan Moscow menawarkan sokongan kepada pihak berkuasa Myanmar yang menolak tuduhan bahawa pembersihan etnik sedang dijalankan.

Bercakap kepada 15 anggota majlis, Guterres menggesa Myanmar menghentikan operasi ketenteraan dan membuka akses kemanusiaan ke wila­yah dilanda konflik terbabit.

Guterres menegaskan bahawa ‘keganasan sistemik’ boleh menyebabkan pergolakan di bahagian selatan hingga pusat negeri Rakhine dan mengancam 250,000 orang agar berpindah.

=EZY=