Categories
NASIONAL

Pekerja pusat tahfiz tolak ubat nyamuk punca kebakaran

OLEH SYAZWANI SUFIAN

FOTO OLEH ASRI SAPFIE

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Salah seorang pekerja di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat, di sini, menolak menjelaskan asrama terbabit tidak menggunakan ubat nyamuk yang didakwa menyumbang kepada kebakaran, awal pagi tadi.

Bercakap kepada SelangorKini, Mohd Arif Mawardy, 24, berkata penghuni asrama terbabit tidak memerlukan ubat nyamuk kerana menggunakan penghawa dingin ketika tidur.

“Kita menggunakan penghuna dingin tidak pernah menggunakan ubat nyamuk seperti diperkatan,” katanya.

Mengimbau kembali detik cemas kira-kira jam 5 pagi tadi, beliau menyedari kejadian terbabit selepas terdengar bunyi bising dari arah luar.

Katanya, sejurus mendengar jeritan jiran tetangga, beliau bergegas keluar dan mendapati api sudah mulai marak di tingkat tiga bangunan asrama terbabit.

“Tingkat tiga memang khas bilik asrama untuk pelajar, manakala tingkat dua ada untuk tenaga pengajar dan kakitangan,” katanya sebak.

Mohd Arif berkata, beliau turut berusaha mencari alternatif menyelamatkan pelajar terbabit walaupun suasana panik menyelubungi ketika itu.

Namun, katanya, api yang terlalu marak dalam tempoh singkat merencatkan usaha memadam kebakaran terbabit.

“Kami juga diarah keluar cepat untuk menyelamatkan diri dan biar bomba selesaikan usaha menyelamat,” katanya.