Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya mampu menangis lihat api marak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

FOTO OLEH ASRI SAPFIE

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Hanya air mata yang mampu mengiringi Nurhayati Abdul Halim ketika menyaksikan detik cemas penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Hujung yang terperangkap dalam insiden kebakaran, awal pagi tadi.

Menceritakan insiden menyayat hati itu kepada SelangorKini, beliau menyedari pusat tahfiz berkenaan disambar api ketika ingin melakukan persiapan perniagaan, seawal jam 5 pagi.

“Sebaik terjaga daripada tidur, akak terdengar jeritan anak tahfiz berkenaan dan nampak kepulan asap juga api dari tingkat atas bangunan terbabit.

“Bila nampak akak terkedu tidak tahu nak buat apa, akak tengok dengan mata sendiri mereka menjerit minta tolong sambil tangan melambai keluar dari tingkap,” ceritanya dengan linangan air mata.

Nurhayati, 46, berkata beliau amat mengenali penghuni di pusat tahfiz itu dan sudah menganggap mereka seperti anak sendiri.

IMG_8729Beliau berkata, kediamannya yang terletak di hadapan pusat itu menjadi tumpuan anak tahfiz ekoran pekerjaannya sebagai peniaga pisang goreng.

“Akak memang kenal anak tahfiz ini dan anggap macam anak sendiri sebab mereka sering beli pisang goreng, di sini. Memang akak terkilan sangat sebab tidak mampu tolong.

“Semalam, baru saja mereka datang ke kedai bergurau dan buat lawak dengan akak. Ada juga salah seorang dari mereka termenung dan bila ditanya kenapa katanya nak pinjam telefon untuk telefon maknya tetapi sedih panggilan itu tidak berjawab.

“Akak dapat tengok kesedihan pada riak wajahnya,” katanya.

Ceritanya lagi, api merebak dengan cepat kira-kira dalam tempoh 20 minit sahaja hingga menyebabkan mereka yang terperangkap gagal menyelamatkan diri.

“Ada juga akak nampak sempat menyelamatkan diri turun melalui paip dan ada yang cedera parah kerana terjatuh dari tingkat tiga,” katanya.