Categories
SELANGOR

Pelaburan ratusan juta lagi untuk Selangor – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 SEPT : Selangor bakal menerima prospek pelaburan baru dengan nilai ratusan juta membabitkan pelabur sedia ada dari Amerika Syarikat, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pengumuman rasmi akan dibuat selepas perjanjian pelaburan itu dimuktamadkan, awal Oktober ini.

“Pada prinsipnya, saya sangat gembira kerana pelabur ini datang ke pejabat saya untuk menzahirkan keyakinan mereka untuk kekal melabur di Selangor.

“Namun mereka ada memaklumkan tentang permohonan tanah untuk meneruskan pelaburan baru itu dan saya sudah mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri untuk mengemukakan keperluan maklumbalas berkenaan,” katanya.

ekonomi-selangor-1Beliau bercakap kepada pemberita pada Forum Malaysia Baru oleh Dato’ Menteri Besar, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, hari ini.

Difahamkan, projek pelaburan berkenaan menumpukan kepada industri pembuatan Aeroangkasa meliputi bidang Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) Activities.

“Kita akan membuat keputusan secepat mungkin kerana kita tidak mahu wujud birokrasi dalam membuat keputusan kerana pelaburan ini sangat penting dan berteknologi tinggi di Subang,” kata Mohamed Azmin.

Terdahulu, Selangor memeterai perjanjian persefahaman pelaburan bernilai RM1 bilion daripada gedung terbesar dunia IKEA.

IKEA bakal mendirikan gudang penyimpanan dan pengagihan produknya untuk pasaran Asia Pasifik di Pulau Indah.

Pembangunan berkenaan berkapasiti enam kali lebih besar dari IKEA Basel dan mampu memuatkan 230,000 palet berbanding 48,000 palet.

=EZY=