Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pelajar KUIS meningkat kepada 10,000, perkembangan baik

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 6 SEPT: Pertambahan pelajar ketara di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) adalah perkembangan positif terhadap kemajuan pengajian Islam di Selangor.

Timbalan Rektor Bahagian Pengurusan Korporatnya, Dr Zulkifli Abd Hamid, berkata ia jelas membuktikan kolej itu semakin mendapat tempat di kalangan ibu bapa dan pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran di sini.

“Setakat ini kita memiliki kira-kira 10,000 pelajar di mana jumlah ini adalah hasil kemasukan pelajar baru pada masa ini.

“Peningkatannya amat ketara dalam tempoh tiga tahun ini bermula pada 2014 hingga tahun lalu.

kuis-1“Ia begitu berbeza iaitu pada 2014, kita hanya mempunyai sekitar 4,000 pelajar tetapi pada tahun ini sudah meningkat hingga 10,000 pelajar di mana ia sudah melebihi 200 peratus,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KUIS dalam proses menaik taraf bangunan sedia ada pada awal penubuhannya pada 1995 bagi menampung bilangan pelajar semakin ramai di kolej itu dengan peruntukan RM8 juta daripada Kerajaan Negeri.

“Satu pusat akademik baru juga dibangunkan di sini di mana upacara pecah tanah akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada September ini.

“KUIS juga melalui perkembangan baik dalam dua tahun ini kerana sebelum ini ia hanya menyediakan program pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda tetapi kini mempunyai program bermula di peringkat asasi hingga pengajian doktor falsafah (PhD),” katanya.

=EZY=