Categories
EKONOMI SELANGOR

Pelan pembangunan industri Selangor sasar kekal KDNK tertinggi negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelan pembangunan jangka panjang meliputi keperluan untuk kekal berdaya saing bagi membolehkan prestasi cemerlang ekonomi Selangor dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dikekalkan.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia meliputi lima teras komponen utama sebagai inisiatif mengukuhkan kestabilan ekonomi negeri.

“Selangor mempunyai pelan jangka panjang untuk memastikan ekonomi Selangor kekal berada di hadapan bagi menyumbang kepada KDNK tertinggi kebangsaan.

“Oleh itu, kita sudah merangka satu pelan induk untuk keperluan pembangunan industri Selangor dengan memberi tumpuan kepada lima bidang iaitu elektronik, eletrikal, sains hayat, pengangkutan dan makanan.

Azmin MB“Kami pasti dengan adanya pelan induk ini akan mengukuhkan Selangor untuk terus berada di prestasi terbaik bagi tempoh akan datang,” katanya pada persidangan Selangor-Asean Business Conference 2017, di Setia City Convention Centre, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas komitmen pentadbiran negeri dalam memastikan kedudukan ekonomi negeri terus kekal kukuh berbanding negeri lain bagi tempoh jangka panjang.

Pada 6 September lalu, Jabatan Statistik Malaysia mengeluarkan laporan KDNK 2016 yang menyaksikan Selangor kekal mendahuli dengan peratusan sumbangan paling tinggi sebanyak 22.7 peratus.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 15.3 peratus serta Sarawak di tempat ketiga sebanyak 9.8 peratus.

Prestasi cemerlang itu meletakkan Selangor berjaya berada di kedudukan tertinggi bagi tempoh enam tahun berturut antara 2012 hingga 2017.

Mohamed Azmin berkata, perolehan itu, sekali gus mendorong kepada peningkatan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri berbanding Persekutuan.

“Pertumbuhan yang baik ini ada kaitan langsung dengan pentadbiran negeri hari ini yang mempertahankan prinsip kebertanggungjawaban, intergriti, melawan dan menolak amalan rasuah juga salah guna kuasa yang akan memberi keyakinan kepada pelabur dalam juga luar negara,” katanya.