Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Pelancongan Selangor dipertingkat dengan aktiviti, produk baru

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEPT: Perkembangan industri pelancongan Selangor terus mengalami kemajuan dengan pelbagai aktiviti dan produk baru bagi menarik minat pelancong domestik serta luar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Kerajaan Negeri turut mengiatkan promosi bagi tujuan itu termasuk menyertai program pelancongan di luar negara.

“Pada September ini, melalui Tourism Selangor, kita akan menyertai program pelancongan di Jepun yang turut disertai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan diharap akan meningkatkan minat pelancong Asia Utara khasnya dari negara matahari terbit itu ke Selangor.

elizabeth-wong-2“Kita bersedia dengan beberapa aktiviti dan mempunyai produk baru untuk diperkenalkan bagi menarik minat pengunjung ke sini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, antara produk baru dinyatakan ialah tapak pelancongan baru seperti kawasan pembinaan jeti di Tanjung Sepat dan beberapa lokasi menarik di Kajang.

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia bekerjasama dengan pihak berkaitan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan pelancongan berunsur sejarah dan warisan di Kajang, pada tahun depan.

“Terdapat beberapa lokasi menarik di Kajang untuk ditawarkan dan dengan kemudahan sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) akan lebih mudah untuk semua ke sana.

“Beberapa aktiviti juga dirancang antaranya seperti pesta makanan Selangor yang mampu menarik kehadiran ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.