Categories
PBT SELANGOR

Peluang nikmati tawaran kompaun 50% MBSA

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 SEPT: Orang Kena Kompaun (OKK) berpeluang menikmati Kempen Pengurangan Kompaun sehingga 50 peratus sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-17, sepanjang Oktober ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, terdapat sembilan jenis kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan 50 peratus daripada jumlah kompaun sebenar.

Katanya, ia termasuk kompaun di bawah kesalahan Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

SHAHRIN“OKK dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil. Ia termasuk sekatan urusniaga di kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah,” katanya.

Shahrin berkata, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) juga diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal.

Katanya, MBSA turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang beroperasi setiap Sabtu di pasar raya terpilih, di kawasan pentadbiran MBSA.

“Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA atau Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam,” katanya.

Untuk kompaun kesalahan tempat letak kereta, OKK boleh menjelaskan bayaran melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan Bank Rakyat.

Selain itu, untuk bayaran menerusi JomPay, OKK hanya perlu memasukkan biller code 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran.