Categories
PBT SELANGOR

Pengurusan sampah KDEBWM efektif, aduan kurang di Selayang

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 SEPT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengendalikan pengurusan sisa pepejal dengan baik dengan pengurangan aduan di Selayang, sejak Mac lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata dalam tempoh itu, ia membuktikan kecekapan KDEBWM dalam pengurusan sisa pepejal serta mempertingkatkan tahap kebersihan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Statistik aduan pada Mac lalu iaitu bulan pertama KDEBWM mengambilalih perkhidmatan kutipan sisa pepejal dari MPS adalah sebanyak 1,300 dan jumlah ini menurun setiap bulan dengan 36 sahaja pada Ogos lalu.

“Syabas kepada warga kerja KDEBWM dan sub kontraktor atas kejayaan ini, diharap prestasi baik ini dapat terus dikekalkan,” katanya.

CP2A9547Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pukal antara MPS dan KDEBWM dan Penyerahan Lori Kompaktor Baru KDEBWM di lobi MPS di sini, hari ini.

Katanya, perjanjian MPS dan KDEBWM adapah bagi tempoh tujuh tahun bakal membawa MPS ke era baru di dalam pengurusan sisa pepejal di mana KDEBWM menjanjikan pembaharuan dan modus operandi baru di dalam operasi mereka.

“Penggunaan lori kompaktor baru buatan Jepun dilengkapi pelbagai gajet dan sistem canggih untuk digunakan semua sub kontraktor di Selayang.

“Semua lori kompaktor ini akan dipantau pergerakannya melalui penggunaan Automatic Vehicle Locating System (AVLS) yang dipantau secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di KDEBWM di ibu pejabat di Shah Alam.

“KDEBWM juga menggunakan aplikasi IClean Selangor bagi pengurusan aduan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di sini yang mana aplikasi ini adalah salah satu daripada inisitif Kerajaan Negeri melalui program Smart Selangor bagi kemudahan masyarakat,” katanya.

MPS adalah pihak berkuasa tempatan kedua bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) apabila perkhidmatan sisa pepejal diuruskan KDEBWM ini adalah kesinambungan projek perintis di Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 1 Julai tahun lalu.

Turut hadir, Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman; Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad; Pengarah KDEBWM, Syaiful Azmen Nordin; Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir serta hadirin lain.

=EZY=