Categories
NASIONAL

Siap sedia hadapi gelombang kedua banjir di Kedah

ALOR SETAR 27 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Kota Setar kini bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir jika berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Pegawai Operasinya, Leftenan (PA) Pertahanan Awam, Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya dengan kekuatan 50 anggota boleh dikerah pada bila-bila masa bagi membantu memindahkan mangsa yang terperangkap.

“Tahap kesiapsiagaan kami masih tinggi untuk dikerah pada bila-bila masa saja termasuk waktu kecemasan kerana kami memiliki sembilan bot, dua lori, tiga kenderaan pacuan empat roda dan tiga ambulans.

“Walaupun surut kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga kerana laporan Jabatan Meteorologi mendapati hujan akan turun semula dan jika berlarutan kawasan rendah akan dinaiki air dan mangsa terpaksa dipindahkan semula,” katanya kepada pemberita pada Program Pasca Banjir APM Kota Setar di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini, hari ini.

Dalam program itu, seramai 30 anggota dan pegawai APM Kota Setar melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan kemudahan yang disediakan di dewan sekolah, kelas dan tandas yang digunakan oleh mangsa banjir di sekolah itu sebelum ini.

Program itu turut disertai guru sekolah, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

SUMBER: BERNAMA