Categories
PBT SELANGOR

Rakyat semakin puas hati khidmat PBT

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 2 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencatatkan peningkatan tertinggi peratusan responden yang berpuas hati dengan perkhidmatannya berdasar kajian prestasi Merdeka Center for Opinion Research bagi 2016.

Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato’ Azizi Mohd Zain berkata, kajian tersebut menunjukkan 74 peratus responden berpuas hati dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor berbanding 2015.

“Ini bertepatan dengan dasar kualiti majlis dalam memberikan perkhidmatan yang cepat, tepat, berkesan dan mesra serta berinisiatif untuk menambah baik kualiti perkhidmatan bagi kepuasan pelanggan.

mbpj“Usaha ini dilihat berepatan dengan misi majlis dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang berkualiti demi kesejahteraan Petaling Jaya,” kata dalam mesyuarat MBPJ, baru-baru ini.

Pada masa sama, Azizi turut mengumumkan MBPJ juga salah satu PBT menerima penarafan lima bintang dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, penarfan itu adalah berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh Pasukan Inspektorat SPB-PBT KPKT ke semua PBT.

“Kriteria penilaian yang dinilai adalah merangkumi pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti dan pandangan penduduk.

“Di peringkat MBPJ, pelbagai program dan pembangunan dilaksanakan bagi memenuhi ekspektasi rakyat yang mengharapkan perkhidmatan cepat, efisien, efektif, mudah dan murah.

“Penganjuran program seperti PJ City Food Bank, Perkhidmatan Bas Percuma, Kebun Komuniti ‘Kebun Kita’, Program Bandar Selamat, Projek i-Plau Park dan lain-lain meletakkan hubungan majlis dan masyarakat bertambah erat,” katanya.

=EZY=