Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap tahniah pelantikan KPN baru

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun atas pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-11, hari ini.

Menerusi Twitter, Mohamed Azmin turut berharap pelantikan itu dapat memperkukuhkan institusi polis di negara ini .

“Tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun atas perlantikan sebagai KPN ke-11.

“Semoga kewibawaan institusi polis diperkukuhkan,” tulisnya.

Mohamad Fuzi Harun dilantik sebagai KPN menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mohamad Fuzi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Antropologi dan Sosiologi pernah menyandang pelbagai jawatan dalam PDRM.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan Taiping serta Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Pada 2014, beliau pernah memangku jawatan Timbalan KPN selama beberapa bulan ekoran penyandangnya pada masa itu, Tan Sri Mohd Bakri Zinin bersara wajib.