Categories
NASIONAL

Pusat Tahfiz DQI cari lokasi sementara

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI), di Jalan Keramat Ujung, di sini masih mencari lokasi sesuai bagi meneruskan sesi pembelajaran yang perlu dimulakan, pada awal November ini.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata, bangunan baru yang sepatutnya dijadual beroperasi, pada Oktober ini ditangguhkan dan hanya akan digunakan, pada awal 2018.

“Ada beberapa tempat ditawarkan untuk kami beroperasi buat sementara waktu, namun kami perlu mencari institusi yang mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta tidak terletak terlalu jauh,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata, pusat tahfiz sementara perlu beroperasi di premis berstatus institusi dan bukan di lot kediaman kerana tidak bersesuaian.

Katanya, insiden yang mengorbankan nyawa pelajar juga tenaga pengajar di pusat tahfiz terbabit membuka mata banyak pihak, sekali gus menambah baik pendidikan pusat tahfiz di seluruh negara.

“Inilah hikmahnya. Pemergian mereka membuatkan kebajikan semua pusat tahfiz dipandang serius dengan pelbagai peruntukan diumumkan.

“Selepas kejadian ini, banyak inisiatif diterima seperti pendawaian secara percuma kepada institusi pendidikan tahfiz di seluruh negara khususnya daripada kerajaan yang prihatin,” katanya.

Pada 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar, pada jam 5.15 pagi.