Categories
PENDAPAT RENCANA

Hijrah Nabi jadi panduan spiritual gerakan Islam, iktibar masyarakat

Perutusan Maal Hijrah 1443H oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” (Potongan terjemahan Al-Quran ayat 40 Surah At-Taubah)

Dihimpit antara dua kerajaan besar Parsi dan Rom, Semenanjung Tanah Arab semenjak dahulu ternanti-nanti suatu kebangkitan yang akan mengangkat mereka ke pentas dunia. Dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW, bangsa gasar yang nomadik ini akhirnya berjaya menjadi pencetus Empayer Islam yang menguasai hampir 2/3 muka bumi.

Dan titik penting perubahan itu boleh dikatakan bermula dengan peristiwa hijrah ini.

Ayat suci Al-Quran Al-Karim yang dipetik di awal tulisan ini merakamkan dialog tersohor antara Junjungan Besar kita bersama sahabat setia yang terutama, Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA pada saat genting dalam peristiwa tersebut. Ia membuktikan penyerahan diri secara total dan keyakinan yang paling tinggi pada Allah Rabbul Jalil sewaktu nyawa baginda dan sahabatnya hampir diragut oleh penindas Quraisy.

Lebih awal dari itu, umat Islam sejak sekian kalinya ditindas di bumi Mekah. Setelah disiksa, dipulau serta diboikot perniagaan serta kelangsungan hidup mereka, golongan muslim awal dengan penuh tanggungjawab berterus-terusan mencari tapak yang baru. Walaupun mendapat dokongan awal dari Raja Habsyah yang baik, kepentingan menyebarkan dakwah Islam tidak pernah terhenti dan akhirnya mencapai kemuncaknya dengan perpindahan penuh susah payah namun berstrategi ke Madinah.

Apa yang terjadi selanjutnya, seperti yang kita ketahui, adalah sebahagian dari lipatan sejarah.

Dari zaman ke zaman, peristiwa ini sering menjadi panduan spiritual bagi mana-mana gerakan Islam, dan iktibar untuk umat Islam amnya. Banyak yang dapat dipelajari, sama ada yang tersurat dan tersirat, daripada perincian persediaan, ketabahan dalam menghadapi derita yang merudung serta mesej-mesej yang didasari rasa kebertanggungjawaban untuk membawa keluar umat manusia dari kegelapan menuju cahaya.

Dan tidak dinafikan, intipati daripada peristiwa ini adalah anjuran untuk kita sentiasa berubah. Umat Islam harus mempersiapkan diri bagi mendepani cabaran zaman, dan menyedari bahawa mengulang-ulang kaedah yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza merupakan suatu kebodohan.

Kebetulan bulan ini juga merupakan bulan kebangsaan. Sepertimana ikoniknya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu daripada Portugis, Inggeris dan Jepun yang kemudiannya bergabung bersama wilayah Sabah dan Sarawak dan menjadi Malaysia, begitulah pentingnya peristiwa hijrah ini buat umat Islam seluruhnya.

Saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1443H kepada semua umat Islam terutamanya di Selangor. Semoga kita bersedia berubah ke arah yang terbaik di tahun baru ini, Insya-Allah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kukuh akidah, banyakkan amalan sunat sempena Maal Hijrah

SHAH ALAM, 10 OGOS: Umat Islam diseru berazam memperkukuh akidah melalui aktiviti dakwah dan kerohanian sempena tahun baharu Maal Hijrah 1443H.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penghijrahan perlu dibuat bagi mendapat keberkatan, keredhaan dan rahmat Allah.

“Sempena tahun baharu ini, kita perlu berusaha menangani ajaran sesat, pemikiran liberal, penghinaan kepada Islam dan apa sahaja aktiviti yang menjurus kepada menyeleweng dari pegangan ahli sunnah wal jamaah.

“Malah, umat Islam juga dinasihat untuk perbanyakkan amalan sunat seperti puasa, solat, berdoa dan bertawakal kepada Allah terutama di saat kita diuji dengan pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Mais Bermunajat dan perutusan tahun baharu Hijrah 1443H yang disiarkan secara langsung di Facebook Mais malam tadi.

Abdul Aziz turut mengucapkan salam Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam terutama penduduk negeri ini dan meminta semua mendoakan agar wabak Covid-19 segera diangkat ke langit.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maal Hijrah disambut sederhana, penuh kesyukuran dalam suasana pandemik

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Selama dua tahun berturut-turut, Maal Hijrah 2021/1443 disambut dalam suasana cukup sederhana namun penuh kesyukuran meskipun negara masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19.

Bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti,’ sambutan tahun baharu Hijrah mempunyai pengertian yang amat besar bagi umat Islam dalam mengimbas peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari kota Makkah ke kota Madinah.

Di Putrajaya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan hijrah dalam mendepani pandemik Covid-19 dan bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan demi negara tercinta.

Dalam titah baginda secara hidbrid sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan hari ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik itu.

Di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berharap kedatangan tahun baharu Islam mengurniakan umat Islam dengan keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar melawan Covid-19 menerusi PPN yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.

Muhyiddin juga berharap sambutan Maal Hijrah dapat terus dihayati dan disemarakkan oleh umat Islam di negara ini walaupun semua masih berjuang untuk menamatkan pandemik itu.

Tokoh Ma’al Hijrah 1443H/2021M Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad bergambar selepas sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 9 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Semalam turut menyaksikan bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan manakala Setiausaha Agung Rabitah Al-‘Alam Al-Islamiy Makkah Al-Mukarramah, yang juga Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, As-Syeikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sambutan Maal Hijrah tahun ini diharap dapat memberikan motivasi kepada rakyat untuk sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua cabaran selain mempunyai keyakinan dan emosi yang kukuh ketika berdepan pandemik Covid-19.

“Saya menyeru kepada semua supaya sama-sama memupuk semangat ukhwah dan penyatuan, sebarkan kebaikan dan bersama membangunkan Negeri Sembilan yang berdaya maju, diberkati dan harmoni dan mendoakan agar keadaan kembali normal seperti sedia kala,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Pelancaran Hijrah Merdeka Online secara dalam talian hari ini.

Di Selangor, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan menyeru umat Islam agar mempersiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran zaman dan berharap semua masyarakat sedia berubah ke arah yang terbaik tahun baru ini.

Di Pulau Pinang, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh, 70, yang juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Pulau Pinang, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri itu.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak secara maya malam ini, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, Abdul Halim Abdul Hamid, 66, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ulamak.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata cabaran pandemik Covid-19 perlu diambil iktibar oleh umat Islam untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan saling membantu sesama manusia.

“Peristiwa hijrah juga mengajar kita supaya bersabar dalam apa jua cabaran di samping sentiasa berusaha untuk berikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 2021/1443 hari ini.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad menghadiri Majlis Ambang Maal Hijrah peringkat negeri yang dianjurkan di Masjid Sultan Azlan Shah (MSAS) Ipoh malam ini dan turut hadir barisan Exco Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta kira-kira 200 jemaah dengan mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Di Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari semasa menyampaikan amanatnya di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya malam ini meminta umat Islam di negeri itu agar tidak menjadi masyarakat yang hanya melihat sahaja pembangunan di Sarawak sebaliknya bersama-sama mengambil peluang untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau berkata untuk menjadi negeri maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi, umat Islam perlu berganding bersama rakyat lain di Sarawak bagi memanfaatkan peluang yang wujud hasil inisiatif kerajaan membuka ruang baharu yang dapat meningkatkan lagi ekonomi negeri ini.

Di Terengganu, sambutan yang disiarkan secara dalam talian memilih bekas Mufti Negeri Terengganu Datuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir, 86, sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini manakala Tokoh Imam Cemerlang dianugerahkan kepada Abd Wahab Muhammad, 77, dari Masjid Kampung Rawai, Marang dan Mohamad Puteh, 67, dari Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus pula diangkat sebagai Tokoh Bilal Cemerlang.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata ummah berkualiti yang mempunyai keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual berupaya mendepani apa jua rintangan tanpa berkeluh-kesah kerana yakin dengan qada’ dan qadar Allah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ajak umat Islam persiap diri depani cabaran zaman

SHAH ALAM, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam mempersiapkan diri bagi mendepani cabaran zaman dan menyedari mengulangi kaedah sama dengan mengharapkan hasil yang berbeza merupakan perkara sia-sia.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata intipati daripada peristiwa umat Islam awal di Mekah yang tertindas sehinggalah penghijrahan mereka ke Madinah menjadi pengajaran untuk masyarakat hari ini berubah.

“Dari zaman ke zaman, peristiwa ini sering menjadi panduan spiritual bagi mana-mana gerakan Islam, dan iktibar untuk umat Islam amnya.

“Banyak yang dapat dipelajari, sama ada yang tersurat dan tersirat, daripada perincian persediaan, ketabahan dalam menghadapi derita yang merudung serta mesej yang didasari rasa kebertanggungjawaban untuk membawa keluar umat manusia dari kegelapan menuju cahaya,” katanya menerusi perutusan Maal Hijrah 1443H.

Beliau menambah sambutan Maal Hijrah kali ini bersamaan dengan peristiwa penting negara iaitu Hari Kebangsaan yang akan diraikan pada 31 Ogos ini.

“Sepertimana ikoniknya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu daripada Portugis, Inggeris dan Jepun yang kemudiannya bergabung bersama wilayah Sabah dan Sarawak dan menjadi Malaysia, begitulah pentingnya peristiwa hijrah ini buat umat Islam seluruhnya,” katanya.

Amirudin juga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam terutama di negeri ini dengan harapan masyarakat bersedia berubah ke arah yang lebih baik.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perancangan rapi, tertib Rasulullah teladan buat negeri

*Perutusan Maal Hijrah 1442H oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Nabi Muhammad S.A.W selamanya dikenang dalam sejarah bukan semata-mata kerana berjaya mengubah iktikad dan keimanan golongan musyrikin Mekah, malahan berjaya mengubah tatanan sosial serta politik dunia.

Salah satu momen terpenting dalam sejarah Islam adalah peristiwa Maal Hijrah. Kesusahan hidup, himpitan boikot ekonomi dan tekanan politik melatari gerak kerja dakwah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W yang akhirnya mencetuskan penghijrahan ke Kota Madinah.

Terdapat susunan perancangan strategi dan taktikal yang sangat rapi bagi mencapai objektif yang lebih besar: kelangsungan agama Islam.

Delegasi lebih awal para muslimin telah dihantar untuk menyediakan persiapan, serta mengumpul maklumat atau reconnaisance diketuai Abdullah bin Abu Bakar, putera kepada sahabat utama baginda yang setia. Pengorbanan Saidina Ali menjadi petanda simbolik peranan yang boleh dimainkan oleh anak muda dalam mana-mana pergerakan. Begitu juga kerjasama pintar bersama pihak ketiga yang neutral seperti Abdullah bin Uraiqit bagi menjamin kerahsiaan plot yang sebegitu mustahak ini.

Semua yang dinyatakan menunjukkan betapa rapinya persiapan dalam merencana ‘grand strategy’ yang akhirnya membawa kepada kemuncaknya dengan peristiwa Pembukaan Kota Mekah.

Begitulah juga iktibar yang harus direnungkan dalam kehidupan seharian kita. Tanpa perancangan dan penyelarasan, misi yang kompleks mungkin mustahil dijayakan dan membawa kegagalan.

Di Selangor, Kerajaan Negeri sebaik mungkin menggagas serta menyelaraskan perancangan dengan semua pihak dan agensi dengan rapi dan tertib. Semangat musyawwarah ini jelas nyata sewaktu koordinasi yang kompleks dan kompak diperlukan di peringkat Bilik Gerakan Covid-19 sewaktu saat awal PKP dilaksanakan. Perancangan rapi ini juga diterjemahkan tiap tahun dalam dokumen Belanjawan yang tahun ini kita bentangkan November hadapan.

Semoga Allah merahmati terus Selangor dalam pecutannya untuk berhijrah menjadi Negeri Pintar Menjelang 2025.

Categories
AGAMA BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Ambil iktibar perancangan Nabi Muhammad kembang syiar Islam

SHAH ALAM, 19 OGOS: Perancangan rapi Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Maal Hijrah untuk mengembangkan syiar Islam dan membawa pembukaan Kota Mekah harus menjadi iktibar dalam merencana setiap misi.

Dato’ Menteri Besar berkata Rasulullah akan selamanya dikenang dalam sejarah bukan hanya kerana berjaya mengubah iktikad dan iman golongan musyrikin malah aturan (tatanan) sosial serta politik dunia.

“Salah satu detik terpenting dalam sejarah Islam adalah peristiwa Maal Hijrah. Kesusahan hidup, himpitan boikot ekonomi dan tekanan politik melatari gerak kerja dakwah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang akhirnya mencetuskan penghijrahan ke Kota Madinah.

“Terdapat susunan perancangan strategi dan taktikal yang sangat rapi bagi mencapai objektif lebih besar: kelangsungan agama Islam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1442H.

Dalam menjayakan peristiwa bersejarah itu, Amirudin berkata delegasi awal telah dihantar menyediakan persiapan serta mengumpul maklumat diketuai Abdullah Abu Bakar, putera kepada sahabat utama baginda yang setia.

“Pengorbanan Saidina Ali menjadi petanda simbolik peranan yang boleh dimainkan oleh anak muda dalam mana-mana pergerakan. Begitu juga kerjasama pintar bersama pihak ketiga yang neutral seperti Abdullah Uraiqit bagi menjamin kerahsiaan plot sebegitu mustahak ini.

“Semua dinyatakan menunjukkan betapa rapinya persiapan dalam merencana grand strategy yang akhirnya membawa kepada kemuncaknya dengan peristiwa pembukaan Kota Mekah,” katanya.

Amirudin berkata mengambil iktibar daripada peristiwa itu Kerajaan Selangor menyelaraskan perancangan rapi dengan semua agensi seperti ketika koordinasi serta kompak diperlukan di Bilik Gerakan Covid-19 di saat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perancangan rapi ini juga diterjemahkan tiap tahun dalam dokumen Belanjawan yang tahun ini kita bentangkan November hadapan. Semoga Allah merahmati terus Selangor dalam pecutannya untuk berhijrah menjadi Negeri Pintar Menjelang 2025,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ummah Rabbani Negara Harmoni, tema sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ menjadi tema Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M yang akan diadakan di Masjid Negara Kuala Lumpur petang esok.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya berkata tema itu bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama yang telah pun dicontohkan di zaman Nabi Muhamad SAW.

“Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan merupakan tunjang dalam kebanyakan pelan-pelan yang dibangunkan oleh kerajaan.

“Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid Syariah dan perkara ini turut dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis yang dijadual akan diadakan pada pukul 5 petang itu, bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Selain itu juga dijadual hadir ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Paimuzi berkata kemuncak bagi sambutan majlis itu ialah penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M yang disampaikan kepada seorang tokoh ilmuan profesional tersohor di tanah air pada masa kini serta kepada seorang tokoh antarabangsa yang terkenal.

Penganugerahan gelaran itu berdasarkan kriteria pengetahuan dan pengalaman yang luas yang ada pada calon, selain mempunyai sifat dan peribadi yang unggul.

Tokoh yang dipilih juga seorang yang pakar dalam bidang yang diceburi serta telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan pembangunan ummah selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan disiarkan secara Iangsung menerusi saluran TV1 dan TV AI-Hijrah

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan Maal Hijrah dalam norma baru, majlis ringkas 20 Ogos

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan berlangsung dalam majlis ringkas di Masjid Negara pada 20 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata sambutan diadakan mengikut kebiasaan baharu dengan jumlah peserta dihadkan selain perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa bagi mengekang penularan Covid-19.

“Untuk sambutan peringkat Wilayah Persekutuan dan kebangsaan, kita buat dalam bentuk amat ringkas iaitu pada sebelah petang dan Insya-Allah akan selesai selepas solat maghrib dan pada malamnya diadakan solat hajat.

“Anugerah (Maal Hijrah) akan dibuat di peringkat kebangsaan di Masjid Negara pada malam tersebut dalam kapasiti yang amat terhad, ringkas tetapi tujuannya untuk meninggikan syiar agama dan menzahirkan semangat hijrah Rasulullah SAW diadaptasikan dan dilaksanakan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial Bil 1/2020, di sini hari ini.

Zulkifli berkata sambutan Maal Hijrah bagi peringkat negeri pula tertakluk kepada pengurusan di negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berharap penubuhan Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial tersebut akan dapat menghasilkan penyelesaian kepada isu-isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghinaan terhadap agama Islam, ajaran sesat dan ateisme (fahaman tidak mengakui kewujudan tuhan).

“Saya berharap pelaksanaan yang berkesan dapat dimuktamadkan, bukan untuk menghukum semata-mata tetapi menyelesaikan masalah umat Islam untuk menuju kehidupan yang lebih harmoni,” katanya.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi meneliti dan mengkaji secara mendalam langkah boleh diambil terhadap isu menghina agama Islam di media sosial dengan mengambil kira aspek tarbiah, penerangan, pemulihan, pencegahan dan undang-undang.

Persidangan sehari itu disertai ahli mesyuarat yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan antaranya wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum muktamadkan sambutan Maal Hijrah

NILAI, 11 OGOS: Kerajaan kini dalam peringkat akhir perbincangan bagi memutuskan sama ada mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1442H/2020M atau sebaliknya, berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sambutan Maal Hjrah yang jatuh pada 20 Ogos ini, merupakan acara kebesaran umat Islam dan amat penting dalam menyebarkan syiar Islam meskipun ia diadakan dalam skala yang kecil.

“Insya-Allah kita akan muktamadkan dan kita akan isytiharkan. Kita akan cuba melihat sambutan Maal Hijrah yang mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelidikan Pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Menurut Zulkifli jika diadakan sambutan Maal HIjrah tahun ini, jumlah peserta dan masa sambutan akan dihadkan.

Mengenai seminar berkenaan, Zulkifli berkata ia diadakan bertujuan mengumpul maklumat dan kajian bagi memperkasa, menambah baik serta mentransformasi pengurusan hal ehwal Islam dalam menghadapi cabaran dan keperluan semasa ummah.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Beri ruang dan peluang kepada mualaf

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita sambutan Maal Hijrah 1439H, Adam Corrie Lee Abdullah, 49, mengharapkan masyarakat memberi lebih ruang dan peluang kepadanya untuk menjadi muslim lebih baik.

Selebriti yang lebih dikenali dengan lakonan filem aksi itu mengakui menyimpan hasrat untuk mengislamkan lebih ramai orang, pada masa akan datang selain dapat mendalami lebih banyak ilmu berkaitan Islam.

“Cabaran saya mengharapkan masyarakat menerima saya seadanya. Jangan mendesak dan pandang serong kepada saya. Beri saya peluang, ruang dan bimbinglah saya menjadi mualaf lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Selangor di Masjid Negeri, semalam.

Beliau berkata, aktiviti ibadah umrah secara percuma yang diberikan kepada mualaf kurang lima tahun serta berpendapatan RM1,200 menerusi pertubuhan Kembara Iman Malaysia membawa dirinya dipilih selaku penerima anugerah.

Adam Corrie berkata, sejak mula dilangsungkan pada 2015 dan 2016, hampir 70 mualaf sudah dibawa mengerjakan umrah di Tanah Suci secara percuma.

Beliau melafazkan syahadah pada 13 Julai 2007 ketika berusia 39 tahun dan mula mempelajari Islam di Puchong atas bimbingan Ustaz Zawawi.

Beliau kemudian bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga dengan Fazima Fuad yang banyak memberikan bimbingan kepadanya, setahun kemudian.

Adam Corrie juga merupakan Presiden Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Kembara Iman Malaysia dan Persatuan Usrah Fitrah selain memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Koperasi Permodalan Mualaf.

Buku terbitan beliau pada 2015, ‘Ada Iman, Baru Syok, Ada Fight’ sudah dicetak sebanyak empat kali selain menjadi penulis tetap kolum edisi Ahad di Akhbar Metro, setiap minggu.

Categories
SELANGOR

Sedia tabur bakti demi pembangunan Islam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Mantan Prof Madya Fakulti Pendidikan Universiti Selangor (UNISEL), Dr Osman Sabran dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah, pada Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Selangor di Dewan Solat Bawah, Masjid Negeri, semalam.

Anak jati Sekinchan berusia 68 tahun itu dipilih berdasarkan sumbangan beliau sebagai warga pendidik selain aktif menerbitkan beberapa buku antaranya Urusniaga Al-Qard Al-Hasan Dalam Pinjaman Tanpa RIba (2001), Pengurusan Harta Wakaf (2002) dan Pengantar Institusi-Institusi Islam (2002).

Beliau turut menghasilkan hampir 100 tajuk artikel, kertas kerja dan teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti Falsafah Sains dan Teknologi, Dakwah dan Realitinya di Malaysia serta Sistem Perbankan Islam.

Ketika ditemui sejurus menerima anugerah berkenaan, beliau dengan rendah diri menyifatkan terdapat tokoh lain lebih layak, namun bersyukur serta menganggapnya sebagai rezeki Allah SWT.

“Ini penghargaan untuk semua, bukan saya seorang sahaja malahan ramai di antara kita yang berjuang demi pembangunan modul insan dan Islam.

IMG_20170921_213327“Saya sangat menghargai sokongan semua pihak untuk saya menabur bakti sepanjang usia mengikut kemampuan yang ada. Semoga Allah memberikan saya kekuatan unutk meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Beliau kini lebih menumpukan kepada penghasilan khutbah Jumaat dan Hari Raya, di samping menyiapkan beberapa artikel juga nota ceramah yang kian berubah dari segi gaya penyampaian selari kemajuan masyarakat semasa.

Selaku Tokoh Maal Hijrah 1439H, Osman menerima wang tunai RM20,000 daripada Kerajaan Negeri, sijil penghargaan, trofi maal hijrah dan anugerah mengerjakan umrah yang disampaikan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kukuh persaudaraan Islam sempena Maal Hijrah 1439H

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Bersempena sambutan Maal Hijrah 1439H, umat Islam diseru menyelami dan menghayati hikmah penghijrahan serta perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam, lebih 1,400 tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, kisah penyatuan persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk kekuatan hingga tertubuhnya negara Islam yang mengangkat Islam ke tahap lebih tinggi.

“Sebagai umat Islam, seharusnya kita mengambil iktibar akan peristiwa hijrah ini untuk merenung kembali diri sendiri dan menilai semula amalan sepanjang hidup kita.

“Semoga kita dapat berhijrah ke arah kebaikan, penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Begitu juga kecintaan kepada junjungan besar Rasulullah SAW dapat diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Negeri Selangor di Dewan Solat Bawah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

IMG_20170921_213209Katanya, umat Islam hari ini perlu mengenepikan semangat asabiyyah, perbezaan mazhab dan perasaan hasad dengki bagi memastikan ukhwah juga muafakat terus kukuh sehingga menjadi contoh teladan kepada penganut agama lain.

Tema bagi sambutan Maal Hijrah 1439H Selangor adalah ‘Umat Bersatu, Negeri Sejahtera’.

Turut berangkat DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mewakili DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Bersempena sambutan ambang Maal Hijrah, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan lima Anugerah Maal Hijrah 1439H.

Anugerah Khas Maal Hijrah 1439H dianugerahkan kepada Dr Osman Sabran, manakala Anugerah Badan Dakwah Sukarela diberikan kepada Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH).

IMG_20170921_213509Selebriti dan pelakon Adam Corrie Lee Abdullah dipilih selaku penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita bagi Maal Hijrah 1439H.

Anugerah Aktivis Masyarakat pula diberikan kepada Mahat Tumin dan Mokter Murat dipilih selaku penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali.

Dalam majlis sama, seramai 16 pelajar dipilih selaku penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah.

Bersempena sambutan Maal Hijrah 1439H, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut membacakan doa akhir dan awal tahun yang dipimpin Imam Besar, Muhammad Farhan Wijaya.

IMG_20170921_213156 IMG_20170921_213255