Categories
SELANGOR

Selenggara ban hadapi air pasang besar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 22 SEPT: Penyelenggaraan ban di beberapa kawasan di Selangor sudah dilakukan sejak awal tahun sebagai persediaan menghadapi air pasang besar, kata Zaidy Abdul Talib.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kerja menaik taraf dilakukan terhadap ban rendah supaya mengikut ketinggian sepatutnya.

“Ban yang rendah kita tinggikan, manakala ban pecah diperkukuhkan supaya ia mampu menahan air pasang besar dengan persediaan dibuat dari awal berdasarkan pengalaman tahun lalu.

“Jadi, proses naik taraf kita laksanakan lebih awal,” katanya ketika melawat lokasi kerja menaik taraf bagi mengatasi banjir di Persiaran Hamzah Alang, Meru, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman.

ZAIDY TALIB (2)Pada masa sama, Zaidy berkata, penyelenggaraan ‘borrow pit’ yang berada, pada kedudukan selepas ban juga siap diselenggara bagi menakung kawasan air melimpah.

Beiau berkata, pihaknya turut menyelenggara parit dan longkang bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik jika fenomena terbabit berlaku.

“Bila ada lebihan air melepasi ban, borrow pit akan menjadi tempat takungan air melimpah.

“Kerja menaik taraf itu dilaksanakan di semua peringkat jabatan kerajaan termasuk Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.