Categories
KENYATAAN MEDIA

Tahniah Ketua Polis Negara baharu, ayuh siasat secara telus 1MDB

OLEH: MOHD SANY HAMZAN

Pemuda AMANAH Nasional mengucapkan jutaan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dilantik menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib.

Perlantikan Ketua Polis Negara yang baharu diharap dapat memberikan sinar baharu terhadap perkembangan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Skandal besar melibatkan dunia itu sebelum ini seolah ‘disucikan’ dan dilepaskan biarpun pelbagai pihak sama ada dalam dan luar negara mendesak siasatan secara adil dan menyeluruh dijalankan terhadap 1MDB.

KETUA POLIS SANYBukti skandal melibatkan wang negara ini telah didedahkan oleh banyak negara dan menjadi buah mulut seluruh dunia menyebabkan Malaysia dipandang hina.

Ini termasuklah pendedahan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) apabila skandal ini melibatkan negara itu.

Pendedahan dan dakwaan yang telah dilakukan oleh banyak negara termasuklah Amerika Syarikat dan Singapura membuktikan skandal tersebut benar-benar wujud dan ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Adalah menjadi tugas pihak polis menyiasat secara telus biarpun yang disyaki terbabit itu adalah perdana menteri itu sendiri.

Individu-individu yang terlibat dalam skandal mega ini termasuklah Jho Low dan Riza Aziz masih bermaharaja biarpun pelbagai bukti yang didedahkan secara terperinci. Individu-individu ini seolah-olah kebal dan tidak mampu didakwa oleh pihak berkuasa negara.

Ketua Polis Negara yang merupakan jawatan kanan di dalam negara ini sudah pasti mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan dan kertas siasatan bagi mendakwa individu-individu yang terlibat dalam skandal 1MDB ini.

Kami berharap agar Mohamad Fuzi bersama dengan aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab menjarah harta negara ini didakwa seadilnya!
* MOHD SANY HAMZAN adalah Ketua Pemuda AMANAH Nasional