Categories
SELANGOR

Mampu bawa perubahan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mampu membawa perubahan besar dalam negara ekoran kepimpinan ditunjukkan menerajui Selangor.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Mohamed Azmin sepatutnya diberi peluang lebih tinggi khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, perubahan itu harus dilakukan untuk melihat Malaysia bergerak lebih jauh ke hadapan memandangkan pemimpin negeri berkenaan berjaya membawa perubahan dalam pentadbirannya.

“Inilah masanya untuk memberi peluang kepada orang muda memimpin dan beliau layak diletakkan pada jawatan lebih tinggi

“Tidak hanya Pakatan Harapan, malah perkara sama boleh dilakukan di dalam Barisan Nasional (BN) juga. Hari ini, rakyat melihat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sahaja.

“Ramai yang suka dengan cara dua pemimpin muda ini yang nampak memahami jiwa anak muda, justeru corak kepimpinan sudah boleh berubah dan kepercayaan harus diberikan kepada orang muda,” katanya.

AZMINPada masa sama, katanya, Malaysia boleh mengambil contoh beberapa kepimpinan muda negara lain seperti Perancis dan Kanada.

Dr Mohd Azizuddin berkata, pemimpin muda di negara terbabit berjaya membawa perubahan baharu dari segi pentadbiran negara, malah ia memberi penambahbaikan.

“Sudah tiba masanya kita berubah mengikut arus semasa. Zaman sekarang bukan lagi seperti sebelum ini. Melihat senario kepimpinan negara hari ini, kepimpinan parti politik di negara ini harus diberikan kepada orang muda,” katanya.

Mohamed Azmin mula berkhidmat sebagai Dato’ Menteri Besar, pada 23 September 2014 selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.