Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TLDM sahkan kematian dua anggota, tiada kompromi pihak langgar SOP

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 30 SEPT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan kematian dua anggota dan tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang langgar prosedur semasa bertugas.

TLDM dalam kenyataan media hari ini berkata dua anggota terbabit iaitu LK 1 PNK Mohamad Baihaqi Nik Mat, 28 dan LK 1 TLS Muhamad Lailatulman Mohd Syukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada 29 September.

Menurut kenyataan TLDM itu, kedua-dua anggota tersebut telah menjalani latihan fizikal mengikut prosedur tetap (SOP) yang ditentukan.

“Mereka telah mengadu keletihan ketika menjalani latihan tersebut dan seterusnya direhatkan serta dimasukkan ke dalam bilik tahanan.

“Kedua-dua anggota mengalami muntah, keletihan dan sesak nafas. Mereka telah diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan dan panggilan kecemasan telah dibuat,” kata TLDM.

TLDM menyatakan kedua-dua anggota telah disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada jam kurang 3.15 petang.

“Hasil pemeriksaan awal oleh doktor bertugas terhadap kedua-dua anggota tidak menunjukkan sebarang pukulan atau penderaan fizikal.

“Walaubagaimanapun kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan sebab kematian tersebut,” katanya.

Kata TLDM lagi, punca kematian masih dalam siasatan polis dan pihak TLDM
akan membantu dengan memberi kerjasama penuh.

“Pihak TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan untuk meneliti SOP sedia
ada dan jika ada pelanggaran terhadap SOP tersebut. Sesungguhnya TLDM
tidak akan berkompromi atau melindungi mereka yang melanggari prosedur
semasa melaksanakan tugas,” katanya.

KES TLDM

EZY