Categories
GLOBAL

Trak Palang Merah misi bantuan Rohingya terbabas, 9 maut

COX’S BAZAR 21 SEPT: Sebuah trak Palang Merah yang membawa bantuan untuk pelarian Islam Rohingya terbabas di Bangladesh hari ini, meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, kata polis.

Agensi Berita Antarabansa AFP melaporkan pemandu trak itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit berhampiran bandar sempadan, di sini, di mana lebih 420,000 pelarian Rohingya melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 10 yang lain cedera dan mangsa kebanyakannya adalah buruh yang ditugaskan mengagihkan bantuan.

Pegawai Palang Merah berkata, trak itu membawa makanan dan bekalan lain untuk Muslim Rohingya yang terkandas di antara sempadan Myanmar dan Bangladesh di Nykhongchhari.

“Sembilan orang maut, termasuk enam di tempat kejadian, manakala tiga lagi mangsa meninggal dunia di hospital,” kata Timbalan Ketua Polis daerah sempadan Bandarban, Yasir Arafat, kepada AFP.

Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh, Mozaharul Huq, berkata trak terbabit membawa beras, bijiran beras, air minuman, gula dan makanan lain.

“Persatuan Bulan Sabit tempatan dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa menyewa trak berkenaan untuk membawa makanan kepada pelarian Rohingya di sempadan, termasuk mereka yang terkandas di antara kedua-dua negara,” katanya.

=EZY=