Categories
SELANGOR

YIDE santuni keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan bantuan kewangan dan khidmat kaunseling kepada dua keluarga dan waris mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, bantuan itu salah satu inisiaitf YIDE menyantuni keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang selain memulihkan semangat mereka.

“Ini adalah satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat YIDE kepada masyarakat setempat khususnya di Selangor.

“Masyarakat juga disaran untuk bersama menghulurkan bantuan terus kepada waris mangsa bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa pihak luar yang cuba mengambil kesempatan atas kesulitan ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, YIDE turut berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di Selangor dengan melaksanakan program agihan sumbangan kewangan, bantuan pendidikan dan menawarkan perkhidmatan rawatan hemodialisis yang dikawal selia Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Mais (MAIS).

Nur-Mohd-Razali-CEO-YIDE-menyerahkan-sumbangan-kepada-Fawah-Wahidah-Ibu-kepada-Arwah-AimanJPG-300x200Antara waris mangsa yang menerima bantuan ialah bapa kepada Allahyarham Umar Al-Khatab, 6, Helmi Khalil dan ibu kepada Allahyarham Muhammad Aiman Ramzanudin, 12, Farah Wahidah Wahid.

Sementara itu, Helmi berkata, beliau redha terhadap ketentuan Ilahi dan menyifatkan anaknya seorang yang manja dan menghafaz dua juzuk al-Quran sepanjang enam bulan berada di pusat tahfiz berkenaan.

“Adik kepada Allahyarham Umar iaitu Muhammad Nasrullah yang kini berusia empat tahun juga akan dimasukan ke pusat tahfiz terbabit demi meneruskan delegasi Allahyarham abangnya yang tidak kesampaian untuk menjadi seorang huffaz,” katanya