Categories
GLOBAL

17 maut dua bom kereta meletup

MOGADISHU 29 OKT: Sekurang-kurangnya 17 maut dalam letupan dua bom kereta di pinggir ibu negara hari ini, dipercayai angkara militan al Shabaab.

Dalam kejadian pertama, sebuah kereta sarat bahan letupan yang dipandu pengebom nekad merempuh sebuah hotel dikenali sebagai Nasahablod Two, kira-kira 600 meter dari istana presiden, lapor REUTERS.

Seorang pegawai polis, Ali Nur berkata, bom kedua meletup beberapa minit selepas itu berdekatan sebuah bangunan lama yang pernah dijadikan Parlimen.

“Sekurang-kurangnya 17 orang maut, sebahagian besar adalah anggota polis yang sedang bertugas.

“Ada juga yang maut dalam tembak-menembak yang berlaku apabila pasukan pasukan keselamatan menyerbu bangunan hotel itu,” katanya.

Siasatan awal mendapati, semua anggota polis yang maut itu bertugas berhampiran pintu pagar hotel terbabit. Turut terbunuh ialah seorang bekas ahli perundangan.

Difahamkan, jumlah kematian dijangka meningkat susulan kejadian berbalas tembakan di dalam hotel itu antara kumpulan militan dan pasukan keselamatan.

=EZY=