Categories
SUKANKINI

Muay Challenger medan persiapan SUKMA, cungkil bakat baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OKT: Kejohanan Terbuka Muay Challenger Amatur Selangor menjadi medan bagi Persatuan Muay Selangor mempersiapkan atlitnya untuk mewakili Selangor menghadapi temasya Sukan Malaysia yang diadakan di Perak tahun hadapan.

Penasihat Persatuan Muay Selangor yang juga Pegawai Khas Dato’ Menteri Besar Selangor, Muhammad Hilman Idham berkata, kejohanan itu turut menjadi platform persatuan itu mengcungkil bakat baru yang boleh diketengahkan suatu hari nanti.

“Pertandingan ini merupakan usaha Persatuan Muay Selangor menggilap bakat baru untuk melaksanakan pembangunan sukan Selangor di mana tahun hadapan kita berhadapan dSukan Malaysia (SUKMA) di Perak.

“Muay menjadi satu sukan dipertandingan dan kita dalam rangka membangunkan atlit baru dan melaksanakan program untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai sukan muay,” katanya kepada SelangorKini pada hari pertama kejohanan yang diadakan di Dewan Sukan Tempur, Seksyen 6 di sini, semalam.

Jelasnya, penganjur sukan muay kali ini mendapat sambutan sangat menggalakkan apabila disertai kira-kira lebih 140 atlit yang kebanyakkannya terdiri daripada atlit seluruh Selangor dan negeri lain seluruh negara.

“Kita juga menjalin kerjasama dengan Persatuan Muay Pulau Pinang, Persatuan Muay Perak, Kedah dan juga Kuala Lumpur dan dengan kerjasama ini kita yakin bukan sahaja dapat menggilap bakat baru tetapi juga dapat menilai prestasi atlit kita berbanding atlit negeri lain sebelum menjelang SUKMA akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Muay Selangor, Datuk Mohd Fairuz Urep, pula berkata terdapat 10 kategori dipertandingan termasuk dua kategori untuk wanita pada kejohanan yang julung-julung kali diadakan ini.

“Selain peserta negeri di Semenanjung terdapat juga peserta daripada Sabah dan Sarawak dan kita turut menggunakan khidmat ketua juri bertaraf dunia untuk menilai pemarkahan pertandingan ini,” katanya.

=EZY=