Categories
NASIONAL

2 bas ekspres 1 lori bertembung, 10 cedera

JASIN 31 OKT: Sekurang-kurangnya 10 cedera termasuk lapan penumpang dalam nahas membabitkan dua bas ekspres dan sebuah lori tangki di Kilometer 178.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Tangkak ke Jasin, di sini, pagi tadi.

BH ONLINE melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, bas ekspres membawa 11 penumpang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dipercayai cuba memintas sebuah lori sebelum merempuh sebuah lagi bas ekspres dari arah sama.

Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas kira-kira dua kilometer dari arah selatan ke utara.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata pihaknya akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, lapan penumpang bas ekspres berusia dalam lingkungan 20-an, masing-masing seorang pemandu bas ekspres dan pemandu lori hanya cedera ringan.

“Mereka dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Noor Hisham Kamal, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.48 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bistari, BBP Jasin dan BBP Tangkak ke lokasi.

“Semua mangsa dilaporkan cedera ringan,” katanya.

SUMBER: BH ONLINE

=EZY=