Categories
NASIONAL

Harga Nasi Campur RM100 di Leban Chondong berpatutan – KPDNKK Pahang

KUANTAN 31 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang mengesahkan kedai yang mengenakan bayaran RM100 untuk dua pinggan nasi campur yang tular di media sosial seminggu lalu, tidak melakukan kesalahan.

Pengarahnya Sharuddin Jali berkata, siasatan terhadap pemilik kedai makan itu mendapati harga yang dikenakan adalah berpatutan dan harga udang galah mengikut gred juga jelas dipamerkan di bahagian hadapan kedai.

“Siasatan mendapati bahawa gambar yang tular itu menunjukkan dua ekor udang galah, sedangkan jumlah sebenar yang diambil ialah empat ekor, di samping lauk lain termasuk sayur dan sotong.

“Bagi harga udang galah telah dinyatakan bahawa perkiraan adalah mengikut gred iaitu A, B dan C pada harga antara RM50 ke RM100 mengikut hidangan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Sharuddin menambah, siasatan juga mendapati tiada tindakan boleh diambil ke atas pemilik kedai kerana tiada kesalahan dilakukan.

SUMBER: BERNAMA