Categories
NASIONAL

2 lagi anggota TLDM ditahan siasat kes bunuh

IPOH 2 OKT: Dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan hari ini bagi membantu siasatan kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Jumaat lepas.

Penahanan itu menjadikan lima anggota ditahan setakat ini ekoran kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, dipercayai didera, lapor ASTRO AWANI.

Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Hasnan Hassan mengesahkan, seorang lagi mangsa berumur 30-an, turut dirawat di Hospital Manjung kerana mengalami kecederaan yang hampir sama dengan dua anggota yang meninggal dunia.

“Kita sedang membuat siasatan forensik pada hari ini dan kita akan membuat juga siasatan forensik terhadap kamera CCTV yang kita rampas.

“Pasukan daripada Bukit Aman bersama-sama sedang membantu dan menjalankan siasatan bersama-sama dengan JSJ Perak,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Mahkamah Majistret Manjung mengenakan tahanan reman selama tujuh hari terhadap tiga anggota TLDM bagi membantu siasatan kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, Jumaat lepas.

Hasnan memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan dengan rapi dan teliti untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku dan siapakah pelaku tersebut.

=EZY=