Categories
NASIONAL

2 maut, 3 cedera kenderaan dihempap pokok

KUALA NERUS 7 OKT: Dua termasuk seorang pelajar maut manakala tiga yang lain parah selepas dua kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Batu Rakit, di sini, tengah hari tadi.

BH ONLINE melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, sebuah van sekolah dinaiki tiga lelaki termasuk dua remaja dan sebuah Perodua Kancil dinaiki dua wanita, remuk selepas dihempap pokok yang tiba-tiba tumbang ketika kedua-dua kenderaan berkenaan melintasi lokasi terbabit.

Berikutan kejadian itu, pemandu van terbabit dan seorang remaja berusia 17 tahun yang duduk di bahagian depan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun yang duduk di belakang, dilaporkan parah di kepala.

Dua wanita yang menaiki kereta terbabit turut dilaporkan parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 1.03 tengah hari sebelum dua jentera dari Balai Bomba Kuala Nerus dan Balai Bomba Kuala Terengganu bersama 14 anggota dihantar ke lokasi.

“Pasukan operasi mengambil kira-kira satu jam mengeluarkan kelima-lima mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, dua daripada mangsa iaitu pemandu dan penumpang van disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

SUMBER GAMBAR: BH ONLINE