Categories
GLOBAL

9 juta maut akibat pencemaran

PARIS 21 OKT: Pencemaran meragut kira-kira sembilan juta nyawa pada 2015 serta satu dalam setiap enam kematian pada tahun itu, demikian menurut satu laporan yang diterbitkan semalam.

Hampir 92 peratus daripada kematian itu berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, kata laporan itu dan menyebut pencemaran udara adalah penyebab utama kematian yang mengorbankan 6.5 juta orang.

Hampir separuh daripada jumlah kematian itu datang dari India dan China, lapor penyelidik dalam jurnal perubatan The Lancet, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Di negara perindustrian yang berkembang pesat seperti India, Pakistan, China, Bangladesh, Madagascar dan Kenya, pencemaran menjadi punca satu daripada empat kematian, tambah laporan itu.

Pencemaran dan penyakit berkaitan sering memberi kesan kepada negara miskin selain mangsa selalunya lemah dan tidak berkuasa.

“Kesannya, pencemaran mengancam manusia seperti hak untuk hidup, sihat, baik dan bekerja dalam keadaan selamat selain perlindungan untuk kanak-kanak dan golongan paling berisiko,” kata penulis bersama kajian itu, Karti Sandilya daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pure Earth.

Dengan kerugian kebajikan global kira-kira AS$4.6 trilion (RM19.44 trilion) setahun, kos ekonomi untuk kematian berkaitan pencemaran dan penyakit juga tertumpu di negara membangun.

“Negara berpendapatan rendah memperuntukkan 8.3 peratus pendapatan negara kasar mereka untuk kematian dan penyakit akibat pencemaran, manakala negara berpendapatan tinggi membelanjakan sebanyak 4.5 peratus,” kata kumpulan penyelidik berkenaan.

Selain keracunan, pencemaran juga penyebab beberapa penyakit seperti sakit jantung, strok, kanser paru-paru dan penyakit penghalang pulmonari kronis.

Pencemaran paling teruk meliputi dua pertiga kematian adalah pencemaran udara,” tambah penyelidik berkenaan.

=EZY=