Categories
KENYATAAN MEDIA

Bantu mahasiswa dapatkan peluang pekerjaan

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Agak lucu apabila Perdana Menteri Najib Razak mahu golongan mahasiswa mengubah mentaliti makan gaji selepas tamat pengajian dan sebaliknya menjadi usahawan yang mampu menawarkan pekerjaan kepada individu lain.

Najib berkata mahasiswa perlu mencabar diri untuk memilih bidang keusahawanan yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna.

Untuk menjadi seorang usahawan ini bukan sesuatu yang mudah untuk menjana pendapatan dalam keadaan ekonomi sekarang. Permasalahan yang sepatutnya difikirkan Najib adalah bagaimana hendak mengurangkan masalah pengangguran di negara ini.

Sudah terlalu banyak lambakan graduan-graduan yang menganggur dan kerajaan sepatutnya berusaha mencari penyelesaian untuk peluang pekerjaaan yang kini semakin terhad.

Bukannya mengubah mentaliti rakyat, Najib yang patut ubah mentaliti untuk membantu rakyat terutama golongan muda.

Sedangkan peniaga-peniaga yang sudah bertapak lebih 30 tahun juga masih merungut kerana pendapatan mereka semakin hari semakin berkurangan, atas beberapa faktor, antaranya harga barangan mahal termasuk barang basah seperti ayam, ikan,daging selain dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bagi memulakan sesuatu perniagaan, sekurang-kurangnya mahasiswa perlu bekerja makan gaji dahulu selama 2 hingga 5 tahun untuk mengumpul modal perniagaan jika ingin menjadi usahawan.

Tetapi keadaan itu akan lebih sukar kerana selepas tamat belajar mereka terus dibebani hutang pinjaman pendidikan seperti PTPTN. Jadi bagi saya, agak sukar bagi mereka kerana hanya ada modal kecil.

Dengan keadaan kegawatan ekonomi negara dan pelaksanaan cukai GST, sudah semestinya ia memberi kesan kepada rakyat pada hari ini.

Pemimpin Umno BN jangan mudah melabel ‘mahasiswa manja’ kerana kenyataan seperti ini bukan sekadar mengelak isu sebenar, malah melambangkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang menyalahkan rakyat atas kegagalan mereka mentadbir negara.

 

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA PAKATAN HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN