Categories
NASIONAL

Almarhumah Raja Nor Mahani banyak beri sumbangan kebajikan

IPOH 4 OKT: Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, yang mangkat pada jam 5.07 petang semalam, sememangnya dikenali sebagai seorang yang banyak menyertai aktiviti kebajikan.

Almarhumah, 74, yang merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, menjayakan setiap program persatuan berkenaan dan melaksanakan tanggungjawabnya dalam majlis penyampaian sumbangan kepada pesakit kanak-kanak, menjayakan program turun padang bersama anggota persatuan serta aktif dalam program pemuliharaan hutan simpan di negara ini.

Baginda menabur bakti selama tujuh tahun dalam persatuan itu dan dua hari yang lepas merupakan hari terakhir baginda berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Bukan itu sahaja, almarhumah juga sangat aktif menjalankan aktiviti kebajikan seperti melawat mangsa banjir dan membantu golongan miskin selain mendekati penduduk kampung di negeri ini.

Malahan Raja Nor Mahani baru-baru ini sempat mengikuti majlis santapan bersama rakyat di Kampung Mandah di Kuala Kangsar selain membuat lawatan seharian ke Pekan Lama Ipoh bersempena Tahun Melawat Perak 2017.

Baginda juga pernah menulis buku ‘Warisan Santapan Darul Ridzuan’ yang mengandungi 137 muka surat terbitan Qalam Seri Ridzuaniah Sdn Bhd pada tahun 1999.

Raja Nor Mahani dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Sebelum itu, Raja Nor Mahani dikurniakan gelaran Raja Puan Muda Perak berikutan suaminya, Raja Jaafar Raja Muda Musa, 76, diisytihar sebagai Raja Di-Hilir Perak pada 1998.

Baginda mendirikan rumah tangga bersama Raja Jaafar pada tahun 1973 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Raja Shah Azman, 43, dan Raja Nor Azwina, 41.

Baginda mendapat pendidikan di Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.

Baginda pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Raja Chulan di Ipoh dan mengajar Bahasa Inggeris serta Geografi di St John Institution, Kuala Lumpur.

Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, hari ini selepas solat Asar.

SUMBER: BERNAMA