Categories
SELANGOR

Bangunan baru atasi masalah pelajar ikuti pengajian

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 9 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memerlukan bangunan akademik baru bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah di kolej berkenaan.

Sehubungan itu, Rektornya, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, projek pembinaan bangunan akademik baru selain kerja menaik taraf Perpustakaan Imam Al-Syafi’i adalah perancangan KUIS bagi mengatasi masalah itu.

“Bangunan baru ini kita jangka dapat menampung lagi kira-kira 4,000 pelajar dan perpustakaan dinaik taraf menampung lebih kurang 2,600 pelajar.

“Bilangan pelajar semakin lama semakin ramai, maka kita memerlukan bangunan baru bagi memenuhi keperluan, pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Akademik Baru KUIS, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Ab Halim berkata, pembinaaan bangunan akademik baru itu diharap menjadikan pelajar berasa lebih selesa dan kondusif dari sudut kuliah, manakala tempoh mengikuti kelas berakhir lebih cepat.

Mengulas lanjut, katanya, KUIS sentiasa berusaha memenuhi keperluan pelajar, justeru bangunan akademik baru itu dijangka dapat menambah bilangan pelajar di kolej itu.

“Sekrang kita mempunyai hampir 10,000 pelajar dan dengan adanya bangunan baru ini, kita jangka dapat menambah bilangan pelajar sehingga 4,000 menjelang 2020,” katanya.