Categories
SELANGOR

Bantu enam keluarga di Sungai Jelok

OLEH HAFIZAN TAIB

KAJANG, 5 OKT: Kerajaan Negeri diharap dapat membantu berhubung isu enam keluarga yang terpaksa berpindah ekoran kerja perobohan rumah mereka di atas tapak kuarters hospital, di Sungai Jelok, di sini.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung perkara berkaitan.

“Kita harap satu perbincangan dapat diadakan dan Kerajaan Negeri memberi tempoh masa sesuai kepada penduduk untuk berpindah.

“Ini kerana penduduk memerlukan lebih masa untuk mengangkut barang yang banyak dan mencari tempat baru memindahkan semuanya,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan bertemu enam keluarga itu, di Sungai Jelok, di sini, hari ini.

Wan AzizahPerobohan rumah itu terpaksa dilakukan bagi projek pembinaan Hospital Kajang dan penduduk sudah menerima notis mengosongkan tanah itu, sejak Disember 2016.

Kerja perobohan rumah itu seharusnya dijalankan kelmarin, namun ditunda.

Turut serta, Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) iaitu E Raman, M Rajendra Kumar, Lee Learn Eng, Lim Kim Eng, S Vangadesen dan Mohd Rashidi Hassan.

Manivannan berkata, isu terbabit mendapat perhatiannya dan akan dibawa dalam sidang Parlimen akan datang supaya ia mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Kesihatan.

“Selain berharap enam lot tanah dijanjikan dapat diluluskan segera, saya akan memohon kementerian akan mengambil maklum serta dapat menaikkan jumlah bantuan sewa kepada penduduk,” katanya.

Manakala Rajendra Kumar menjelaskan, Ahli Majlis MPKj turut mengadakan rundingan bersama Pejabat Tanah dan Galian serta Kementerian Kesihatan dengan persetujuan berkenaan kerja perobohan ke atas rumah penduduk dan mereka juga bersetuju berpindah, pada 22 Oktober ini.

“Semua keluarga terbabit menerima bantuan sewa RM3,600 sekeluarga daripada kementerian sementara menanti kelulusan permohonan penduduk,” katanya dan menambah kontraktor sudah merobohkan sebuah rumah yang dikosongkan.