Categories
KENYATAAN MEDIA

Elak kadar pengangguran meningkat, teknikal dan teori perlu seimbang

OLEH AMINUDDIN HARUN

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mahu sistem pendidikan tinggi dalam negara hari ini perlu diubah suai untuk memenuhi keperluan generasi muda.

Dan katanya lagi, kementeriannya kini terlibat dengan beberapa pihak yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan bagi menjayakan Revolusi Pendidikan 4.0.

1. Saya menyambut baik usaha dan langkah yang ditekankan oleh Idris Jusoh dalam memperbaharui sistem pendidikan di negara ini terutama kepada generasi akan mendatang. Tetapi perlu diingatkan bahawa revolusi pendidikan ini juga bukan hanya tertumpu kepada sistem pembelajaran, bahkan ia perlu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Kerajaan perlu lebih bertegas dalam usaha mengurangan pengangguran di kalangan mahasiswa yang dilihat terlalu tinggi dan perlu diberi keutamaan.

Namun, disini timbul persoalan, dengan perkembangan ekonomi yang tidak stabil dan kerajaan yang korup serta pentadbiran kerajaan yang tidak berjaya diuruskan dengan baik, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan?

2. Revolusi Pendidikan 4.0 adalah sebahagian Revolusi Perindustrian 4.0 yang menular di seluruh dunia, iaitu trend semasa automasi dan pertukaran data yang merangkumi sistem siber fizikal, internet benda, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif.

Saya melihat revolusi ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada generasi kita dan peluang yang diberikan adalah berganda berbanding konsep pendidikan sedia ada.

Namun, jika peruntukan bajet pendidikan yang sering dipotong. Bagaimana untuk ia dilaksanakan?

Dalam Bajet 2017 menyaksikan potongan besar bajet operasi universiti-universiti awam di Malaysia.

Saya hanya perlu berikan dua contoh, iaitu bajet untuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dipotong kepada RM352.7 juta daripada RM512.33 juta sebelumnya (potongan 31.16 peratus), manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula dipotong sebanyak 25.2 peratus, iaitu daripada RM2.23 bilion kepada RM1.67 bilion.

Secara keseluruhannya, peruntukan keseluruhan bagi 20 universiti awam pada tahun 2017 jatuh sebanyak 19.23 peratus, iaitu daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion. Ini merupakan potongan besar untuk tahun kedua berturut-turut selepas potongan teruk pada bajet tahun lepas.

Dalam Bajet 2016, Datuk Seri Najib Razak juga telah memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sebanyak sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong daripada RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

3. Dalam soal ini, saya rasa Kementerian harus memandang jauh bagi melahirkan generasi muda yang benar-benar berpendidikan bertaraf dunia, perbanyakkan diskusi meja bulat dan ia perlu diadakan bagi memperhalusi pelbagai isu dan cabaran dan menyusun langkah bagi mencari penyelesaian.

4. Saya yakin bahawa universiti-universiti di Malaysia masih tidak memenuhi kriteria universiti antarabangsa. Kita mesti menunjukkan imej pendidikan terbaik kalau ingin menjadikan universiti-universiti di negara ini bertaraf antarabangsa kerana tanpa universiti yang berkualiti, kita tidak akan dapat mengejar kecemerlangan.

Walaupun universiti boleh memainkan peranan untuk membangunkan seseorang individu tetapi segala pengalaman pelajar, fokus dan orientasinya berkembang awal di peringkat sekolah.

5. Salah satu masalah universiti di Malaysia adalah kerajaan tidak menggalakkan persaingan antara universiti. Persaingan antara universiti hampir tiada langsung di negara kita. Universiti di Malaysia ditubuhkan dengan konsep pendemokrasian pendidikan, bukan dengan matlamat persaingan.

Kita mesti ada misi yang fleksibel dan adaptif bagi membolehkan universiti dibolehkan untuk mengubahsuai diri mengikut keadaan. Misalnya aspek penyelidikan, di mana setiap universiti sepatutnya bersaing untuk memastikan bahawa penyelidikan yang dijalankan di universiti masing-masing adalah yang terbaik.

6. Saya berharap kementerian harus mencari penyelesaian kepada masalah pengangguran di kalangan mahasiswa. Menurut Laporan Bank Negara 2016 yang diterbitkan pada 23 Mac 2017 menyatakan bahawa pengangguran belia di Malaysia telah mencapai kadar 10.7 peratus pada 2015, iaitu meningkat tiga kali ganda daripada kadar pengangguran negara 3.1 peratus.

Separuh daripada jumlah pekerja menganggur adalah golongan muda walaupun mereka hanya mewakili satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja Malaysia.

Kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding dengan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi pada kadar 9.8 peratus pada 2015.

# Aminuddin Harun adalah Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan