Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

BeerFest: Penganjur perlu penuhi syarat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Kelulusan sebarang penganjuran festival membabitkan minuman keras hanya diberikan jika semua syarat dipenuhi, tegas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, perkara berkenaan bukan sesuatu isu yang perlu diperbesarkan kerana kelulusan sentiasa tertakluk kepada syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita (PBT) pernah luluskan sebelum ini dan tahun sebelum itu. Kita juga tidak mempunyai masalah untuk meluluskan lagi, namun penganjur harus memenuhi syarat ditentukan PBT,” katanya.

Terdahulu, Exco Kanan, Dato’ Teng Chang Khim menegaskan, kelulusan sebarang penganjuran festival seumpama itu di bawah bidang kuasa PBT berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan.

IWB (5)Katanya, kelulusan juga diberikan hanya selepas PBT mempertimbang permohonan dan mendengar bantahan dikemukakan pihak tertentu.

“Inilah demokrasi iaitu kita dengar kehendak dan suara semua pihak serta mempertimbang berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Seperti sekarang, ada PBT yang memberi kelulusan tetapi ada juga yang masih tidak membuat keputusan kerana terdapat syarat tidak dipenuhi penganjur,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Klang membenarkan penganjuran ‘Centro Mall German Food & Baverage Festival’ selepas penganjur mematuhi syarat ditetapkan selain menerima sokongan bersyarat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

MPK juga mengenakan syarat utama iaitu orang Islam tidak dibenarkan menghadiri festival yang dijadual berlangsung, pada 12 dan 13 Oktober ini.

Pada masa sama, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengakui masih belum memberi kelulusan permohonan penganjuran Oktoberfest 2017 kerana penganjur tidak mematuhi syarat dikenakan.