Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Jangan remehkan penjawat awam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak diingatkan untuk tidak meremehkan peranan anggota penjawat awam sama ada di peringkat persekutuan juga negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Najib juga kali ini tersilap langkah apabila memperkecilkan anggota perkhidmatan awam kerana mereka tidak terbabit dengan politik.

Katanya, anggota perkhidmatan awam sentiasa berpegang kepada piagam perkhidmatan awam yang memerlukan mereka bertindak secara profesional, berintegriti dan bebas rasuah.

azmin“Penjawat awam tidak terbabit dengan politik, jadi janganlah perdana menteri heret mereka ke dalam politik.

“Mereka tahu apa yang sedang berlaku di Putrajaya hingga menyebabkan pembangunan agak lembab jika dibandingkan beberapa tahun lalu,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Najib dilapor mengingatkan penjawat awam untuk bersyukur dengan nikmat dikecapi dan tidak membiarkan Malaysia jatuh ke tangan pembangkang yang didakwa tidak menghargai sumbangan mereka.

Mohamed Azmin berkata, Najib juga tidak seharusnya memperkecilkan kematangan penjawat awam dalam membuat penilaian.

“Penjawat awam pada hari ini sudah cukup matang untuk melihat kejayaan dicapai dalam Kerajaan Negeri.

“Saya sering menekankan bahawa kejayaan ini sebahagian besarnya disumbangkan penjawat awam Selangor yang bertindak secara professional, penuh integriti dan bertanggungjawab dalam membangunkan Selangor sebagai negeri termaju,” katanya.