Categories
NASIONAL

Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan realistik, kembalikan kekuatan ekonomi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Cadangan pembentangan Belanjawan Alternatif 2018 Pakatan Harapan bersifat realistik dan mampu dilaksanakan sekiranya gabungan itu menerajui tampuk kepimpinan negara.

Ketua Setiausaha Seketariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelaksanaannya juga mampu mengulangi kecemerlangan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri kabinet sebelum ini.

“Kita sebenarnya berhadapan dengan masalah penguncupan pertumbuhan ekonomi kemudian hutang bertambah dengan amalan rasuah yang berlaku kini.

“Saya kira dengan dasar sedemikian kita dapat kembalikan kekuatan pertumbuhan ekonomi negara seperti yang pernah kita lalui pada zaman Anwar Ibrahim.

“Ketika itu, kita berjaya menurunkan hutang negara pada tahap terendah di samping bajet negara juga mengalami pengurangan defisitnya.

“Jadi perkara itu bukan perkara luar biasa dan boleh dilaksanakan bagi memastikan kekuatan ekonomi dapat dikembalikan,” katanya kepada pemberita di Parlimen petang ini.

Terdahulu, Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan menyaksikan lima cadangan teras utama yang memberi tumpuan kepada inisiatif berkebajikan jangka panjang kepada rakyat.

Antara tumpuan utama termasuklah pemansuhan cukai rakus GST serta pelaksanaan agenda pendidikan percuma melibatkan institusi pengajian tinggi awam seluruh negara.

Cadangan Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

=EZY=