Categories
EKONOMI

Indeks Harga Pengguna meningkat lebih tinggi 4.3%

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 25 OKT: Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat lebih tinggi pada kadar 4.3 peratus bagi September 2017 kepada 120.3 daripada 115.3 pada bulan sama tahun lepas.

Antara kumpulan utama mencatatkan peningkatan adalah indeks Pengangkutan (+15.8 peratus), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+4.6 peratus), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan IsiRumah (+2.8 peratus), Restoran & Hotel (+2.6 peratus), Kesihatan (+2.5 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.4 peratus)

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan inflasi teras naik 2.4 peratus bagi September 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan dalam laporan dikeluarkan pada 20 Oktober lalu antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan Makanan &
Minuman Bukan Alkohol (+4.5 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.8 peratus).

Manakala Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (+2.8 peratus), Restoran & Hotel (+2.6 peratus), Kesihatan (+2.5 peratus) dan Pengangkutan (+2.1peratus).
Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan September 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah Minyak Masak (+49.1 peratus), Sawi (+13.0 peratus), Ikan Kembong (+11.0 peratus), Bayam (+10.9 peratus).

Manakala Sotong (+9.1 peratus), Ikan Cencaru (+6.8 peratus), Ikan Tenggiri (+6.8 peratus) dan Kobis Bulat (+6.7 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti Ayam (-3.5 peratus), Timun (-2.0 peratus) dan Kacang Buncis (-1.2 peratus).

Kenaikan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

=EZY=