Categories
PBT SELANGOR

Belanjawan MBSA sasar hasil cukai meningkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan Hasil Cukai iaitu kutipan cukai taksiran meningkat dan menyumbang RM289.35 juta pada 2018.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, ia bersamaan 62.7 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil iaitu RM461.8 juta.

Katanya, anggaran peningkatan hasil cukai taksiran adalah RM8.6 juta iaitu 3.1 peratus berbanding anggaran tahun semasa.

“Hasil Bukan Cukai pula dijangka menyumbang RM136.89 juta atau 29.6 peratus daripada keseluruhan hasil.

“Ia dijangka meningkat sebanyak RM7.1 juta iaitu 5.5 peratus berbanding anggaran 2017.

“Sewaan merupakan hasil utama kategori ini dengan sumbangan 29 peratus daripada jumlah besar Hasil Bukan Cukai,” katanya.

Shahrin berkata, Terimaan Bukan Hasil pula dijangka menyumbang sebanyak RM35.5 juta atau 7.7 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil.

“Sumber Terimaan Bukan Hasil ini adalah dari Geran Keseimbangan dan Geran Bayaran Lampu Jalan daripada Kerajaan Persekutuan serta bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

=EZY=