Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor lebih konsisten

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Penganalisis menjangkakan Selangor bakal mengumumkan beberapa lagi insentif dalam Belanjawan 2018 bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyatnya selaras kemampuan kewangan negeri itu yang semakin kukuh.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal itu ekoran rekod pentadbiran Kerajaan Negeri beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan insentif kepada rakyat bukan bermusim tetapi konsisten.

“Orang boleh kata Selangor sama dengan Persekutuan beri gula-gula kepada rakyat tetapi apa yang dapat diperhatikan, Kerajaan Negeri beri inisiatif kepada rakyat setiap tahun atau berpanjangan.

“Ini sekali gus menunjukkan Kerajaan Selangor lebih telus, akauntabiliti dan memikirkan kepentingan rakyat, bukan bayaran ‘one off’ tetapi terancang, bersifat berpanjangan, konsisten serta istiqamah.

“Kita juga lihat bila Kerajaan Selangor isytiharkan insentif, belanjawan itu tidak dipotong di tengah jalan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan dilihat terdesak untuk membentangkan bajet gula-gula pilihan raya walaupun mengetahui tiada jaminan kedudukan ekonomi dan kewangan negara berada pada tahap memuaskan.

Dr Rosli berkata, langkah berkenaan memberi risiko lebih tinggi untuk bajet itu dipotong antaranya sektor pendidikan dan kesihatan selepas beberapa bulan ia diumum.

“Berbanding hutang Kerajaan Persekutuan yang bertambah, Selangor pula menurut Laporan Ketua Audit Negara merupakan negeri kedua terendah mempunyai tunggakan bayaran balik hutang dengan nilai RM14.67 juta, pada 2016 berbanding RM27.09 juta, pada akhir 2015,” katanya.