Categories
SUKANKINI

Piala Presiden: Selangor tekad akhiri kemarau 9 tahun

SHAH ALAM 12 OKT: Selangor kini berada di landasan terbaik untuk mengakhiri ketandusan kejuaraan Piala Presiden sembilan tahun apabila bertembung dengan Terengganu pada aksi perlawanan akhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 13 Oktober (Jumaat) ini.

Selepas aksi di Selayang, Selangor akan bertandang ke Kuala Terengganu pada 20 Oktober bagi aksi final kedua.

BH ONLINE melaporkan, Pengurus pasukan Datuk Ariffin Ab Hamid berkata, ia peluang terbaik yang harus dimanfaatkan pemain selepas lama tidak melangkah ke final.

“Pemain mempunyai keyakinan tinggi dan sudah bersedia untuk beraksi di pentas final. Mereka sedar ini peluang terbaik untuk mencipta sejarah kerana sudah lama Selangor tidak beraksi di final.

“Saya percaya ini bukan tekanan buat pemain tapi satu motivasi untuk membuktikan keupayaan. Kami akui Terengganu pasukan yang bagus tapi kami sedia beri tentangan,” katanya.

Skuad muda Red Giants melangkah ke final selepas menewaskan pasukan pilihan Kedah menerusi gol di tempat lawan apabila keputusan terikat 1-1 pada separuh akhir.

Manakala lawan mereka Terengganu juga turut mara menerusi peraturan gol di tempat lawan dengan menyingkirkan juara bertahan Kelantan menerusi agregat 3-3.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor menjulang trofi itu selepas menewaskan Perak 1-0 pada final 2008.

Bagi Ariffin, selain memburu kejuaraan beliau percaya pencapaian anak buah Omar Ali itu ke pentas final adalah bukti kejayaan pembangunan akar umbi Selangor.

“Ini hasil daripada sistem pembangunan pemain bola sepak kami. Kami sentiasa memberi peluang kepada setiap pemain untuk terus berkembang. Kami percaya pemain ini boleh diserapkan ke skuad senior Selangor selepas ini,” katanya.

=EZY=