Categories
EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diniaga 1,759.67 mata

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Bursa Malaysia kembali meningkat selepas mengambil petunjuk prestasi kukuh semalaman di Wall Street.

Pada jam 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.58 mata kepada 1,759.67 berbanding 1,759.09 pada penutupan Khamis.

Indeks dibuka 1.07 mata lebih rendah pada 1,758.02.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 203 berbanding 93 manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,319 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 287.39 juta saham bernilai RM100.04 juta.

JF Apex Securities bagaimanapun berkata FBM KLCI dijangkakan tidak banyak berubah melepasi paras sokongan 1,750 mata ,berikutan prestasi bercampur-campur di US dan Eropah.

“Pasaran Amerika Syarikat (AS) meningkat ke tahap mencecah paras tertinggi, diketuai kaunter teknologi dan kewangan, hasil daripada kenyakinan terhadap reformasi percukaian, manakala saham Eropah tidak berubah dengan pelabur memantau kedudukan politik di Sepanyol,” katanya dalam nota kajian.

bursaBagi saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.55, Public Bank meningkat dua sen kepada RM20.58, Petronas Chemicals menokok tiga sen kepada RM7.35, Sime Darby dan CIMB masing-masing kekal pada RM9.04 dan RM6.40, manakala TNB susut empat sen kepada RM14.20 dan Digi turun satu sen kepada RM4.90.

Antara kaunter aktif, M3 Technologies meningkat 1.5 sen kepada 11 sen, Hibiscus Petroleum menokok satu sen kepada 67.5 sen, Hubline menambah setengah sen kepada 11.5 sen dan Sino Hua-An turun setengah sen kepada 23.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 11.86 mata kepada 12,568.03, Indeks FBMT 100 menambah 11.12 mata kepada 12,220.39, FBM 70 meningkat 40.31 mata kepada 15,105.92, Indeks FBM Emas Shariah menokok 10.16 mata kepada 12,814.34 manakala FBM Ace menambah 55.09 mata kepada 6,670.81.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 25.67 mata kepada 16,583.74, Indeks Perusahaan menambah 0.82 mata kepada 3,204.07 manakala Indeks Perladangan meningkat 6.8 mata kepada 7,922.24.

*Sumber: BERNAMA