Categories
EKONOMI NASIONAL Ringgit

Ringgit susut berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pada hari dagangan terakhir minggu ini, menjelang penyiaran Laporan Pekerjaan AS lewat hari ini.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.330/2360 berbanding dolar daripada 4.2270/2300 yang direkodkan, petang semalam.

Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga berkata, dolar kembali meningkat selepas unjuran data AS mengukuh, yang seterusnya menyokong jangkaan kenaikan kadar faedah US sebelum akhir tahun.

“Sentimen ke atas ekonomi US terus memperoleh rangsangan, pada Rabu selepas Indeks Pengurus Pembelian Bukan Pengilangan mencatatkan paras 59.8 pada September, bacaan tertinggi sejak Ogos 2005.

“Dengan pertumbuhan sektor perkhidmatan US dijangkakan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan pada September, unjuran ke atas ekonomi US diunjur terus mengukuh pada separuh kedua 2017,” katanya lapor BERNAMA.

Mata wang tempatan bagaimanapun didagangkan tinggi berbanding mata wang utama lain, hari ini.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0997/1035 berbanding 3.1026/1060 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.7507/7543 daripada 3.7533/7563 semalam.

Ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 4.9564/9604 daripada 4.9722/9762 semalam dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.5461/5513 daripada 5.5767/5823 semalam.