Categories
SELANGOR

RKRS berjaya tingkat taraf hidup 3,000 peserta

SHAH ALAM, 6 OKT: Taraf hidup kira-kira 3,000 penduduk yang majoritinya anak jati Selangor berjaya ditingkatkan ke tahap lebih baik selepas menyertai program Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) yang dilaksanakan sejak 2011.

Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam, Media dan CSR Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata RKRS dilaksanakan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM30 juta.

“Program ini melibatkan kursus dan latihan kemahiran usahawan dan bukan usahawan serta latihan kemahiran insaniah terutama kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan atau berpendapatan rendah iaitu kurang daripada garis kemiskinan Selangor iaitu RM1,500 per isi rumah.

RKRS“Peserta perlu mempunyai minat memajukan diri tidak kira makan gaji atau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan seterusnya menjana pendapatan lebih stabil,” katanya dipetik dalam satu laporan temubual Bernama baru-baru ini.

Jelasnya, antara kursus dan latihan ditawarkan ialah penternakan, rawatan selepas bersalin, jurubekam klinikal, perkhidmatan baik pulih penghawa dingin, perkhidmatan kontraktor binaan, menjahit, pembuatan kek dan roti, percetakan segera, mutawif (ketua rombongan haji) dan penjagaan kanak-kanak.

Katanya, program yang turut disertai golongan belia, graduan, penganggur, ibu tunggal, pesara dan orang kelainan upaya (OKU) itu berjaya menjana pendapatan bulanan antara RM500 hingga RM10,000 bagi peserta usahawan penternakan, perkhidmatan spa bergerak (RM500-RM8,000), jurubekam klinikal (RM500-RM10,000), perkhidmatan kontraktor binaan (RM1,500-RM40,000) dan baikpulih penghawa dingin (RM1,500-RM 4,000).

Katanya lagi, kursus dan latihan dikendalikan agensi penyedia latihan sebagai mentor yang dilantik Perangsang Selangor selepas beberapa syarat kelayakan dipenuhi peserta.

HIJRAH SELANGOR (NEW)“Bermula tahun lepas Perangsang Selangor menjalin kerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) yang akan memberi bantuan usahawan melalui skim pinjaman mikrokredit bagi memulakan perniagaan,” katanya lagi.

Perangsang Selangor sebelum ini turut menerima dua anugerah ‘Asia Responsible Entrepreneurship Awards’ – Social Empowerment Category Enterprise Asia’ pada 2013 dan 2015 di Singapura dan Macau, yang mempertandingkan 316 penyertaan daripada badan korporat seluruh Asia.

Perangsang Selangor turut menjalankan program CSR melibatkan pembangunan atlet, Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor yang merujuk kepada aktiviti berunsur kerohanian, bantuan dan derma kepada badan tertentu serta bantuan kepada kakitangan Perangsang Selangor yang ditimpa sakit atau musibah tertentu.